Aktivis rancang cetus kemarahan umat Islam dengan bakar Quran
Ditangkap dan perintah keluar daerah
BRUSSELS: Lima aktivis kanan Denmark yang disyaki merancang untuk memprovokasi umat Islam di Belgium dengan membakar Al-Quran telah ditangkap dan diperintahkan keluar dari negara itu.
Menurut laman Facebook kumpulan itu, mereka yang ditangkap adalah anggota ‘Stram Kurs’ atau ‘Hard Line’ iaitu kumpulan yang diketuai oleh Denmark, Rasmus Paludan.
Stram Kurs terkenal di Scandinavia kerana melakukan provokasi dan pihak berkuasa Belgium percaya kumpulan itu merancang pembakaran Al-Quran di Molenbeek, sebuah daerah Brussels dengan populasi penduduk Maghribi yang ramai.
Setiausaha Negara Suaka dan Penghijrahan Belgium, Sammy Mahdi yang juga anak pelarian Iraq, menyambut baik lima penangkapan itu.
“Mereka diarahkan untuk meninggalkan negara ini secepat mungkin dan sudah pun melakukannya. Untuk kekal di negara itu ditolak kerana lelaki ini memberi ancaman serius terhadap ketenteraman awam di Belgium.”
Seorang lelaki lain baru-baru ini ditangkap di Perancis kerana alasan yang sama,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu tidak menyebut nama Paludan tetapi menambah Jerman juga mengambil keputusan sama terhadap individu itu yang dianggap oleh pihak keselamatan sebagai penyebar kebencian.
Pada Ogos lalu, pertempuran berlaku di Malmo di selatan Sweden ketika pencetus provokasi puak kanan membakar Al-Quran dan penduduk memprotes dengan menyerang polis dan beberapa pegawai cedera.
Paludan, seorang pelatih peguam yang tinggal di Denmark sepatutnya ada dalam demonstrasi itu tetapi pihak berkuasa Sweden menghalangnya dari masuk ke negara itu.
“Di dalam masyarakat kami, kita tidak memerlukan orang yang datang untuk menyebarkan kebencian.
“Saya tidak peduli sama ada mereka ekstremis sayap kiri atau kanan, saya peduli keselamatan warga negara kita,” kata Mahdi. – AFP