Semasa

APR guna Facebook, TikTok salur maklumat terkini berkaitan Pilihan Raya

PUTRAJAYA : Akademi Pilihan Raya (APR) menjadikan media sosial seperti TikTok dan Facebook sebagai platform untuk menyalurkan maklumat terkini kepada masyarakat berkaitan pilihan raya termasuk mengenai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pelaksanaan Undi 18.

Ketua Program (Pengurusan Latihan) APR Nik Aminudin Nik Shahar Shah berkata penyaluran maklumat melalui platform media sosial lebih berkesan dan efektif serta bersesuaian dengan keadaan norma baharu ekoran pandemik Covid-19.

“Platform media sosial ini lebih dekat dengan masyarakat terutamanya golongan remaja. Sebab itu kita gunakan platform ini untuk sampaikan informasi mengenai SPR serta pendidikan pengundi kepada masyarakat,” katanya.

Nik Aminudin berkata pihaknya melaksanakan program pendedahan mengenai Undi 18 secara maya kepada golongan remaja dengan sasaran golongan pascapersekolahan yang berada di politeknik dan kolej komuniti kerana mereka telah berumur 18 tahun ke atas.

“Pendedahan mengenai ilmu pilihan raya ini juga perlu dibuat di peringkat sekolah lagi,“ katanya.

Untuk rekod APR diwujudkan pada 8 Januari 2007 dan diletak di bawah Bahagian Operasi SPR dengan objektif  meningkatkan pengetahuan, kemahiran pegawai dan staf SPR selain meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya penglibatan dalam pilihan raya dalam kalangan penduduk khasnya pelajar dan pemilih berdaftar.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajaan membuat keputusan melaksanakan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik selewat-lewatnya 31 Dis tahun ini seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuching.

– BERNAMA

Related Articles

Back to top button