
Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) mengesahkan seorang lelaki Palestin-Amerika terbunuh dalam serangan peneroka haram Israel di Tebing Barat yang diduduki, dan menggesa pihak berkuasa Israel menjalankan siasatan menyeluruh.
Mangsa, Khamis Ayyad, dilaporkan meninggal dunia Khamis lalu akibat terhidu asap selepas rumah dan kenderaan di kampung Silwad, bahagian tengah Tebing Barat, dibakar oleh peneroka Israel.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Tammy Bruce, dalam sidang media pada Selasa berkata pihaknya telah meminta Israel menyiasat insiden itu.
“Keutamaan utama kami adalah keselamatan rakyat Amerika di mana sahaja mereka berada,” katanya, tanpa menyebut nama mangsa secara langsung.
Kes ini berlaku ketika keganasan peneroka terhadap penduduk Palestin meningkat secara mendadak di Tebing Barat sejak setahun kebelakangan ini.
Bulan lalu, seorang lagi warga Palestin-Amerika, Sayfollah Musallet, maut selepas dipukul oleh sekumpulan peneroka Israel. Keluarganya mendakwa pasukan perubatan dihalang daripada memberikan bantuan selama tiga jam, menyebabkan beliau meninggal dunia sebelum tiba di hospital.
Musallet merupakan warga AS ketujuh yang terbunuh di Tebing Barat sejak Januari 2022.
Sepanjang tahun lalu, tentera dan peneroka Israel memperhebatkan serangan terhadap rakyat Palestin, termasuk memusnahkan rumah, ladang dan tempat ibadat. Menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya 1,013 penduduk terbunuh dan lebih 7,000 cedera dalam tempoh tersebut.
Sumber: TRT World & Agensi