AS berkata ia meneliti laporan pencabulan yang dilakukan oleh israel terhadap rakyat Palestin di pusat tahanan rahsia di Gurun Negev, dan menggesa Tel Aviv untuk menyiasat dakwaan itu dengan menyeluruh.
“Kami telah melihat laporan itu dan kami prihatin terhadapnya,” kata timbalan jurucakap Jabatan Negara Vedant Patel kepada pemberita apabila ditanya mengenai siasatan CNN terhadap dakwaan pelanggaran hak asasi manusia.
Sambil menambah bahawa AS sedang “menyelidiki” dakwaan ini dan lain-lain dakwaan penderaan dalam tahanan, Patel menggesa israel untuk melayan semua tahanan secara kemanusiaan dengan bermaruah mengikut undang-undang antarabangsa.
Dalam berita yang berlainan, angka kematian Gaza sudah melebihi 35,000 tetapi tidak semua mayat dikenal pasti menurut PBB.
Kementerian Kesihatan wilayah itu telah mengemas kini pecahan kematian, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu selepas israel mempersoalkan perubahan mendadak dalam bilangan.
Jurucakap PBB Farhan Haq berkata angka kementerian itu – yang sering disebut oleh PBB dalam laporannya mengenai konflik selama tujuh bulan – kini memberikan pecahan hanya 24,686 kematian yang telah dikenal pasti sepenuhnya.
“Terdapat kira-kira 10,000 lagi mayat yang masih perlu dikenal pasti, dan kemudian butiran mereka – yang mana kanak-kanak, yang mana wanita – yang akan dikategorikan semula sebaik proses pengenalan penuh selesai,” Haq memberitahu pemberita di New York.
SUMBER : TRT World