
PUTRAJAYA: Kira-kira 100 sukarelawan Skuad Musa’adah Agensi-Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mengedar barangan keperluan asas serta sumbangan wang tunai berjumlah RM5.3 juta kepada mangsa banjir di tiga negeri di Pantai Timur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata sumbangan itu merupakan peruntukan daripada lima agensi iaitu Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Waqaf Malaysia, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Yayasan Taqwa serta Lembaga Tabung Haji.
Sumbangan ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk segerakan bantuan kepada mangsa banjir di negeri terjejas iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Selain bantuan wang tunai dan barangan keperluan, skuad ini juga akan terlibat dalam gotong-royong membersihkan rumah mangsa banjir“, katanya pada sidang media selepas majlis pelepasan Bantuan Banjir Skuad Musa’adah Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini hari ini.
Beliau berkata sebanyak 14 kenderaan agensi berkenaan digerakkan ke Pantai Timur dengan membawa barangan keperluan asas seperti makanan kering, beras, selimut, al-Quran dan kit solat untuk diagihkan kepada mangsa banjir.
“Pegawai terlibat juga akan sediakan khidmat nasihat dan bimbingan kerohanian bagi memberikan suntikan kekuatan dalaman kepada mereka yang sedang diuji“, katanya.
Bagi memastikan sumbangan tersebut diterima golongan sasar, Mohd Na’im berkata pihaknya bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara untuk mendapatkan maklumat mangsa yang belum menerima sebarang bantuan.
“Kerjasama ini perlu untuk pastikan bantuan tidak bertindih, ini yang kita nak pastikan supaya mangsa yang belum terima bantuan akan terima sumbangan skuad ini”, katanya.
Sehingga pagi ini, Terengganu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 36,321 orang diikuti Kelantan (30,115) dan Pahang (35).
Dalam perkembangan lain, Mohd Na’im berkata kaedah musyawarah (perbincangan) sesuai digunakan untuk menasihati pendakwah bebas, Siti Afifah Shahbudin yang didakwa sering mengeluarkan kenyataan mengelirukan membabitkan hukum agama sehingga mengundang pelbagai reaksi warganet.
“Saya rasa kita perlu guna pendekatan ini. Agama Islam mengajar kita untuk menegur dalam bentuk nasihat. Harapan saya agar ustazah dapat dengar nasihat untuk cari jalan penyelesaian”, katanya.
Perbincangan baik dan teguran antara pendekatan diambil terhadap penceramah bebas, Siti Afifah Shahbudin, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar. #AWANInews pic.twitter.com/OiZjES1uA1
— 🇲🇾Astro AWANI🇲🇾 (@501Awani) December 22, 2022
Tular ketika ini, pendakwah bebas bersama suaminya didakwa sering mengeluarkan kenyataan kontroversi termasuk mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap agamawan yang menegur mereka. – BERNAMA