PalestinSemasa

Bayi Gaza Terpaksa Diberi Herba dan Tahini Gantikan Susu

Oleh : Alaa Madeng

Dalam keadaan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing akibat sekatan dan serangan berterusan tentera Israel, ribuan bayi di Gaza kini berdepan ancaman maut apabila tiada lagi bekalan susu formula untuk mereka. Akibatnya, keluarga terpaksa mencari alternatif berbahaya seperti herba rebus, pes kacang kuda, tahini, malah makanan haiwan – semata-mata untuk mengisi perut si kecil yang kelaparan.

Di sebuah khemah pelarian di pesisir pantai Gaza, seorang nenek kelihatan sedang mengisar kacang kuda untuk cucunya, Muntaha, yang baru berusia tiga bulan dan telah kehilangan ibunya dalam serangan udara rejim Zionis.

“Kalau dia boleh bercakap, pasti dia menjerit tanya apa yang kami suapkan ke mulutnya,” kata ibu saudara Muntaha, sebak.

Harga susu cecah AS$100 setin

Menurut agensi bantuan kemanusiaan, susu bayi kini berharga lebih AS$100 (kira-kira RM470) setin – angka yang mustahil bagi kebanyakan keluarga Gaza yang telah hilang pekerjaan dan tempat tinggal. Hospital seperti Syuhada’ al-Aqsa di tengah Gaza melaporkan bahawa bekalan susu bayi mereka hampir habis sepenuhnya.

Disebabkan itu, ramai ibu bapa kini terpaksa memberi bayi mereka campuran makanan yang tidak sesuai seperti:

  • Tahini dicampur air
  • Rebusan herba seperti halba, anise dan karawiya
  • Daun pokok dan sisa makanan haiwan

“Tiada apa yang tinggal… Saya cuba apa saja untuk anak saya, Jouri,” kata Azhar Imad, ibu kepada bayi berusia empat bulan.

Pakar beri amaran: boleh membawa maut

Pakar kesihatan memberi amaran bahawa bahan-bahan tersebut bukan sahaja tidak mencukupi dari segi nutrisi, malah boleh membawa maut kepada bayi yang masih kecil dan memerlukan pemakanan khusus seperti susu ibu atau formula.

154 maut akibat kebuluran – 89 daripadanya kanak-kanak

Kementerian Kesihatan Gaza mendedahkan bahawa sehingga kini, sekurang-kurangnya 154 individu telah meninggal dunia akibat kebuluran, termasuk 89 kanak-kanak – majoritinya dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

UNICEF menggambarkan keadaan di Gaza sebagai “langkah terdesak” oleh ibu bapa yang sudah kehabisan ikhtiar.

Rayuan kepada dunia

Agensi antarabangsa seperti IPC (Integrated Food Security Phase Classification) menyifatkan krisis di Gaza sebagai “senario kebuluran terburuk dalam sejarah moden”, dan menyeru tindakan segera dari komuniti antarabangsa.

“Jika bayi tidak makan dalam 3 atau 4 hari, mereka akan mati,” tegas Dr. Khalil Daqran, pegawai kesihatan Gaza.

Pihak PBB turut digesa mewujudkan mekanisme kemanusiaan bebas bagi memastikan bantuan seperti susu formula, makanan dan ubat-ubatan dapat disalurkan dengan segera dan telus ke Gaza.

 

Related Articles

Back to top button