
Belanda mengumumkan larangan menyeluruh ke atas dua menteri kanan Israel, Itamar Ben-Gvir dan Bezalel Smotrich, sekali gus menghalang mereka daripada memasuki 29 negara Schengen. Langkah itu menyusul kebimbangan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap retorik keras serta penglibatan mereka dalam perang Israel di Gaza.
Kerajaan Belanda menyatakan larangan itu kini didaftarkan dalam Sistem Maklumat Schengen (SIS), menjadikan mereka secara rasmi “persona non grata.” Ini mewajibkan pihak berkuasa sempadan di seluruh Eropah menolak kemasukan kedua-dua tokoh sayap kanan Israel tersebut.
Bagaimanapun, media Israel Haaretz melaporkan wujud kemungkinan beberapa kerajaan mengarahkan pegawai sempadan mereka untuk mengabaikan larangan itu, yang boleh menyebabkan ketidakselarasan penguatkuasaan di dalam Kesatuan Eropah.
Keputusan Belanda mengikuti jejak Sepanyol, yang sebelum ini melarang Ben-Gvir dan Smotrich susulan pengumuman sekatan oleh Israel terhadap dua menteri Sepanyol. Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, turut mengumumkan pakej langkah lebih luas termasuk embargo senjata ke atas Israel dan larangan kapal serta pesawat membawa bekalan ketenteraan Israel menggunakan pelabuhan dan ruang udara negara itu.
Awal tahun ini, Slovenia menjadi negara EU pertama mengisytiharkan Ben-Gvir dan Smotrich sebagai persona non grata kerana kenyataan mereka yang digambarkan sebagai “genosid.” Slovenia turut mengenakan sekatan komprehensif melibatkan larangan import, eksport dan transit senjata dengan Israel.
Selain Eropah, negara-negara seperti Australia, Kanada, New Zealand, Norway dan United Kingdom turut mengenakan sekatan rasmi terhadap dua menteri Israel tersebut.
Kedua-dua menteri itu sering dikecam kerana retorik yang dilihat menghasut keganasan terhadap rakyat Palestin.
Ben-Gvir, Menteri Keselamatan Negara, pernah menyeru kepada “pengepungan penuh Gaza” dengan menyekat bantuan kemanusiaan, sambil mendakwa “tidak ada orang awam yang tidak terlibat.”
Manakala Smotrich, Menteri Kewangan, secara terbuka menggesa pengilhakan semula Gaza dan pengurangan drastik penduduk Palestin, malah menegaskan Israel perlu “berhenti takut dengan perkataan pendudukan.”
Kenyataan mereka yang menyokong pengusiran rakyat Palestin, serta galakan terhadap tindakan ganas peneroka haram Yahudi di Tebing Barat, menambahkan lagi kebimbangan bahawa kepimpinan sayap kanan Israel sedang menyemarakkan krisis kemanusiaan yang sudah meragut puluhan ribu nyawa di Gaza.
Larangan terbaru Belanda menandakan peningkatan tekanan antarabangsa terhadap kerajaan Israel pimpinan Benjamin Netanyahu. Walaupun keberkesanan penguatkuasaan larangan masih dipersoalkan, senarai negara yang semakin meluas menyekat Ben-Gvir dan Smotrich menggambarkan perubahan dalam sikap global – daripada sekadar kecaman diplomatik kepada tindakan sekatan konkrit.
Bagi ramai pemerhati, langkah ini dilihat sebagai isyarat jelas bahawa dunia tidak lagi bersedia menutup mata terhadap ucapan kebencian dan dasar agresif yang dikaitkan dengan perang Israel di Gaza.
-TRT World