
Türkiye mengecam rancangan Israel untuk mengilhak Tebing Barat dan serangan terbarunya ke atas Gaza, dengan menyifatkannya sebagai bukti jelas bahawa Tel Aviv tidak mempunyai agenda ke arah perdamaian.
Pengarah Komunikasi Türkiye, Burhanetin Duran, berkata tindakan Israel membuktikan niat sebenar rejim itu untuk meneruskan pendudukan dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.
“Sebaliknya, ia berhasrat untuk meneruskan pendudukan dan pembunuhan beramai-ramai. Serangan terbaru ini sekali lagi mendedahkan bahawa Israel menimbulkan ancaman kepada keamanan dan ketenteraman serantau,” katanya dalam kenyataan di platform X pada Selasa.
Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa agar menunjukkan pendirian tegas dalam mengutuk dasar genosid Israel, sambil menegaskan Türkiye akan terus mempertahankan perjuangan rakyat Palestin serta berdiri teguh bersama golongan tertindas sebagai suara keadilan dan kemanusiaan.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas tentera Israel melancarkan siri serangan udara di seluruh Gaza pada Selasa, susulan arahan daripada Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk “melakukan serangan kuat segera” dengan alasan Hamas telah melanggar gencatan senjata, tanpa mengemukakan sebarang bukti.
Menurut laporan, serangan udara itu mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan rakyat Palestin dan mencederakan beberapa yang lain.
Gencatan senjata di Gaza telah dilaksanakan sejak 10 Oktober di bawah pelan 20 perkara yang digerakkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, termasuk pembebasan tawanan Israel sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin serta pembinaan semula wilayah Gaza.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel di Gaza telah meragut hampir 69,000 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 170,000 yang lain. Sebahagian besar wilayah Gaza kini musnah dan hampir seluruh penduduknya terpaksa berpindah.
Sumber: TRT World & Agensi






