PalestinSemasa

Pakar Perubatan Switzerland Lancar Mogok Lapar Desak Kerajaan Bertindak Terhadap Israel

Sekumpulan pakar perubatan Switzerland melancarkan mogok lapar di luar bangunan parlimen negara itu sebagai tanda protes terhadap pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Israel di Gaza, sambil mendesak kerajaan Switzerland mengambil langkah lebih tegas terhadap rejim Zionis.

Protes tersebut, yang bermula Isnin, disertai para doktor dan pakar bedah yang memakai jubah putih dilumuri darah palsu serta stetoskop. Mereka bergilir-gilir berpuasa selama 24 jam dalam bentuk relay sepanjang sesi parlimen bulan September.

Profesor Pietro Majno-Hurst, pakar bedah dan ahli kumpulan Healthcare Workers Against Genocide, berkata tindakan itu melambangkan keperluan mendesak untuk bertindak.

“Tunik putih ini biasanya untuk melindungi nyawa. Tetapi hari ini, jika anda ingin menyelamatkan nyawa, anda terpaksa menanggalkannya. Itu tidak boleh ditoleransi, dan lebih tidak boleh diterima jika kita berdiam diri tanpa tindakan,” tegasnya.

Profesor Karl Blanchet, Pengarah Pusat Kajian Kemanusiaan Geneva, pula menyifatkan pendirian kerajaan Switzerland terhadap krisis Gaza sebagai “pengecut” dan “kurang keberanian.”

“Kerajaan pada masa ini terlalu pasif. Sudah tiba masanya untuk perubahan,” katanya.

Reaksi Kerajaan Switzerland

Jurucakap Kementerian Luar Negeri, Nicolas Bideau, berkata Switzerland amat bimbang dengan situasi kemanusiaan di Gaza, sambil menegaskan pihaknya berulang kali menggesa gencatan senjata dan penghormatan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Majlis Persekutuan percaya bahawa pengiktirafan negara Palestin adalah sebahagian daripada prospek keamanan berkekalan berdasarkan penyelesaian dua negara,” jelasnya.

Bagaimanapun, Switzerland yang terkenal dengan dasar berkecuali masih enggan mengenakan sekatan terhadap Israel. Sebaliknya, negara itu hanya meniru langkah sekatan Kesatuan Eropah terhadap Rusia dalam isu Ukraine – yang mencetuskan tuduhan ‘double standard’ daripada pengkritik.

Menurut Bideau, Switzerland tidak mempunyai autonomi undang-undang untuk mengenakan sekatan secara unilateral kecuali jika diselaraskan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau rakan perdagangan utama – yang sehingga kini mengelak daripada mengambil tindakan sedemikian terhadap Israel.

Krisis Gaza Semakin Meruncing

Protes ini berlangsung ketika kebuluran yang dipaksakan oleh Israel di Gaza semakin kritikal. Sejak Oktober 2023, lebih 64,500 rakyat Palestin telah terbunuh akibat serangan ketenteraan Israel, manakala berjuta-juta yang terselamat kini berdepan krisis makanan dan kesihatan yang parah.

Sumber: Reuters

Related Articles

Back to top button