COVID19 : Kes sembuh harian, kes jangkitan – catat jumlah tertinggi
Sembuh 4,313 manakala positif 4,275

PUTRAJAYA : MALAYSIA hari ini mencatatkan rekod tertinggi kes harian jangkitan Covid-19 dengan 4,275 kes dalam tempoh 24 jam.
Jumlah paling tinggi hari ini dilaporkan selepas seminggu negara mencatatkan kes tertinggi pada 16 Januari lalu dengan 4,029 kes.
Jumlah pesakit sembuh bagi tempoh sama pula adalah seramai 4,313 orang.
Kedua-duanya merupakan jumlah tertinggi yang dilaporkan setakat ini sejak PKP dilaksanakan pada Mac tahun lalu.
Bilangan pesakit sembuh juga menjadikan jumlah kes aktif menurun buat pertama kali dalam tempoh 15 hari.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes dilaporkan hari ini, sebanyak 11 kes import dan selebihnya penularan tempatan.
Katanya kes yang dilaporkan hari ini menjadikan keseluruhan kes 180,455 sementara kes yang masih aktif sebanyak 42,769.
Noor Hisham berkata, Selangor mendahului negeri-negeri lain dengan jumlah keseluruhan negeri itu sebanyak 53,384, diikuti Sabah dengan 46,360 dan Kuala Lumpur 20,970.
Tujuh kematian dilaporkan hari ini di seluruh negara, menjadikan jumlah kematian setakat ini sebanyak 667 atau 0.37 peratus. – KKM