
Tiga pelajar Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan Pengkalan Tereh, Kluang, Johor mengharumkan nama Malaysia dengan memenangi pingat emas Kategori Idea Kreatif (Tingkatan Rendah) pada Olimpiad Robot Antarabangsa ke-27 (IRO 2025) di Gold Coast, Australia.
Kejayaan itu dicapai melalui ciptaan robot “rover” yang direka untuk mengkaji permukaan Marikh, menewaskan pasukan dari 15 negara lain. Guru pengiring, Muhammad Fakhri Che Lah, berkata pencapaian ini hasil daripada persediaan rapi murid sepanjang tahun, termasuk latihan berterusan dan pembangunan pelbagai reka bentuk robot berdasarkan tema angkasa.
Ahli pasukan, Vyonnie Jezzy James Marcel, 12, berkata mereka menyiapkan robot dalam tiga jam setengah menggunakan dua sensor iaitu high screen line dan ultrasonic, walaupun masa yang diperuntukkan empat jam.
Pengarah Jabatan Pembelajaran dan Pusat Satelit Petrosains, Norhana Hamim, menyifatkan kejayaan ini sebagai bukti keberkesanan pendekatan inklusif Petrosains Tech4All dalam memperkasakan pendidikan STEM dan menolak stigma bahawa pelajar Orang Asli sukar bersaing di peringkat antarabangsa.
Kontinjen Malaysia ke IRO 2025 membabitkan 15 pelajar Orang Asli daripada lima sekolah rendah dan turut membawa pulang pingat gangsa serta tiga Anugerah Teknikal hasil kerjasama antara Petrosains, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Offshore Petroleum Industry Training Organisation (OPITO).
Sumber: BERNAMA







