DomestikSemasa

Fahmi Fadzil Dahului Senarai Penerima Darjah Kebesaran Pulau Pinang, Bergelar Datuk Seri

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil hari ini dianugerahkan Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran “Datuk Seri” (Dato’ Seri). Anugerah tersebut dikurniakan bersempena dengan Hari Ulang Tahun ke-85 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, menjadi penerima tunggal bagi darjah kebesaran DPPN pada tahun ini. Beliau mendahului senarai 230 individu yang menerima darjah kebesaran pada hari pertama Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang 2026 yang berlangsung di Dewan Sri Pinang, di sini hari ini.

Selain beliau, seramai 19 individu turut dianugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran “Datuk Seri”. Antara penerima DGPN ialah Pengerusi MARA Incorporated Sdn Bhd Datuk Abdul Halim Mohammad dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Penang Datuk Loo Lee Lian.

Sementara itu, seramai sembilan individu dianugerahkan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN), manakala 72 individu lagi menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran “Datuk”.

Antara penerima DMPN ialah bekas Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail. Manakala antara penerima DSPN pula termasuklah Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Meor Ismail Meor Akim, Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, serta pelakon, pengarah dan penulis skrip terkenal Cathay-Keris Film Productions, Allahyarham Nordin Ahmad.

Terdahulu, Tun Ramli bersama isteri Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah tiba pada jam 8.45 pagi bagi menyempurnakan istiadat penuh gilang-gemilang tersebut.

Istiadat penganugerahan bagi tahun ini dijadualkan berlangsung selama empat hari iaitu bermula hari ini, serta bersambung pada 13, 14 dan 15 Julai. Secara keseluruhan, ia bakal menyaksikan seramai 101 individu menerima darjah kebesaran, manakala 1,120 individu lagi akan dianugerahkan bintang dan pingat kehormatan.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button