
Hamas menyerahkan mayat tebusan Israel ke-16 kepada Palang Merah antarabangsa di bawah perjanjian gencatan senjata yang mula berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu.
Tentera Israel dalam kenyataan lewat Isnin memaklumkan bahawa Palang Merah telah menerima keranda berisi mayat tebusan itu dan kini dalam perjalanan menuju ke pasukan tentera Israel (IDF) di Gaza.
Menurut Briged al-Qassam, sayap bersenjata Hamas, penyerahan mayat berkenaan dilakukan sekitar jam 1900 GMT seperti yang diumumkan lebih awal di saluran Telegram rasmi mereka.
Penyiar awam Israel, KAN, turut melaporkan bahawa persiapan untuk menerima mayat tebusan dimulakan sekitar jam 9 malam waktu tempatan – kira-kira sejam sebelum tempoh akhir yang ditetapkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dalam pelan gencatan senjata 20 perkara yang menjadi asas kepada perjanjian semasa.
Sejak pelaksanaan gencatan senjata itu, Hamas telah membebaskan 20 tebusan Israel yang masih hidup dan menyerahkan 16 jenazah tebusan lain. Menurut pihak berkuasa, baki 12 mayat tebusan masih berada di dalam wilayah Gaza.
Pelan gencatan senjata yang dirangka oleh Trump turut merangkumi fasa pembinaan semula Gaza serta penubuhan mekanisme pentadbiran baharu yang tidak melibatkan Hamas.
Sejak serangan Israel ke atas Gaza bermula pada Oktober 2023, lebih 68,500 penduduk Palestin terbunuh dan lebih 170,000 lagi cedera, menurut data rasmi pihak berkuasa Palestin.
Sumber: TRT World / Agensi Anadolu







