KerohanianPendidikanSemasa

Hukum menyembelih haiwan hamil untuk dijadikan korban

Pada setiap 10 Zulhijjah, umat Islam akan meraikan Hari Raya Korban atau Hari Raya Aidiladha dan melaksanakan ibadah yang sangat dituntut iaitu menyembelih haiwan korban.

Ia adalah salah satu ibadah yang agung sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s kepada anaknya Nabi Ismail a.s sebagai memenuhi perintah Allah SWT malah, peristiwa inilah disyariatkan untuk kita melaksanakan ibadah korban, ia merupakan amalan yang mendekatkan kita kepada Allah SWT.

Dalam hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” Riwayat Tarmizi

Namun, timbul persoalan mengenai haiwan yang dipilih untuk dijadikan adalah haiwan yang sedang hamil, adakah ia dibolehkan atau tidak?

Menurut penjelasan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tidak sah untuk haiwan yang hamil dijadikan sebagai korban kerana keadaan hamil itu merupakan satu ‘aib (kekurangan) yang menjejaskan kualiti dan kuantiti daging korban yang diperoleh daripada haiwan tersebut.

Oleh yang demikian, digalakkan untuk memilih haiwan yang terbaik seperti gemuk dan sihat serta sempurna untuk dijadikan haiwan korban.

Antara syarat bagi binatang untuk dijadikan korban mestilah sihat dan selamat daripada aib atau kecacatan yang mengurangkan dagingnya. Hal ini sepertimana yang disebut oleh Imam al-Nawawi bahawa:

وشرطها سلامة من عيب ينقص لحما

Maksudnya: Syaratnya (haiwan yang dijadikan binatang korban) ialah mestilah bebas daripada aib yang menyebabkan daging haiwan tersebut berkurang. (Minhaj al-Talibin, 1:320)

Menurutnya lagi, keadaan tersebut akan mengurangkan daging bagi haiwan korban itu, justeru ia dikira sebagai satu aib yang menyebabkannya tidak boleh dijadikan korban.

Pandangan ini berdasarkan faktor kualiti dan kuantiti daging yang diambil kira bagi ibadah korban.

Haiwan yang hamil sudah pasti akan berkurang berat dan kurang berkualiti dagingnya justeru menyebabkan kekurangan dari sudut daging.

Tambahan pula, dalam ibadah korban kita digalakkan untuk berkorban dengan haiwan yang terbaik dan sempurna.

Related Articles

Back to top button