DomestikSemasa

Imej Jalur Gemilang Hasil AI Perlu Disemak, Elak Jejas Maruah Negara

Bahan visual patriotik, khususnya Jalur Gemilang yang dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI), perlu disemak teliti bagi mengelakkan kesilapan yang boleh menjejaskan simbol kebangsaan dan maruah negara.

Pengarah Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan, Mohd Sabri Abdullah berkata semakan manusia penting kerana teknologi AI terdedah kepada kekeliruan dan kekangan rujukan rasmi.

“Jika arahan kepada AI tidak jelas, ia akan mengisi kekurangan dengan andaian sendiri. Kesalahan dari segi grafik, warna, nisbah, jumlah jalur atau orientasi boleh menjejaskan maruah negara,” katanya pada taklimat media mengenai tatacara penerbitan dan penggunaan Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025, hari ini.

Beliau menegaskan kreativiti perlu seiring prinsip dan pematuhan piawaian rasmi, manakala kemahiran asas protokol Jalur Gemilang adalah keperluan.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Bahagian (Anugerah dan Persidangan Antarabangsa), Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Azman Ishak, mengingatkan Jalur Gemilang tidak boleh diubah bentuk, gaya atau digunakan sebagai sebahagian logo.

Garis panduan rasmi boleh dirujuk di portal dbook.penerangan.gov.my.

Sambutan Hari Kebangsaan 2025 bertema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” akan diadakan di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos, manakala Hari Malaysia disambut di Pulau Pinang pada 16 September.

Related Articles

Back to top button