Kerajaan Israel mengumumkan pembekuan pembiayaan bagi Anugerah Ophir, iaitu anugerah filem tertinggi negara itu, selepas sebuah filem yang memaparkan kisah seorang kanak-kanak Palestin meraih hadiah utama tahun ini.
Menteri Kebudayaan Israel, Miki Zohar, menyifatkan kemenangan filem berjudul Hayam sebagai “memalukan” dan menuduh ia memburukkan imej tentera Israel. Filem arahan Shai Carmeli-Pollak tersebut mengisahkan seorang budak lelaki Palestin berusia 12 tahun dari Tebing Barat yang berangan-angan untuk ke Tel Aviv demi melihat laut.
Selain memenangi kategori Filem Terbaik, Hayam turut membawa pulang lima anugerah lain, termasuk Pelakon Terbaik yang dimenangi oleh Mohammad Ghazaoui, menjadikannya penerima termuda anugerah itu.
Kemenangan ini sekali gus melayakkan Hayam mewakili Israel ke Anugerah Akademi tahun depan dalam kategori Filem Cereka Antarabangsa.
“Selepas filem pro-Palestin Hayam, yang menggambarkan askar kita secara fitnah dan palsu, menang Anugerah Filem Terbaik di Ophir 2025, saya memutuskan untuk menghentikan dana kerajaan bagi majlis ini mulai tahun depan,” kata Zohar dalam satu kenyataan.
Majlis penganugerahan itu turut disertai beberapa artis yang berpakaian hitam sambil menyeru agar pembunuhan beramai-ramai di Gaza dihentikan.
Walau bagaimanapun, Akademi Filem dan Televisyen Israel mempertahankan keputusan juri dengan menegaskan komitmen mereka terhadap kebebasan berkarya, kebebasan bersuara serta kecemerlangan dalam bidang sinema.
Ini bukan kali pertama Zohar mengkritik karya bertemakan Palestin. Pada Mac lalu, beliau menyifatkan kemenangan dokumentari Israel-Palestin No Other Land di peringkat antarabangsa sebagai “detik menyedihkan bagi dunia perfileman.” Dokumentari tersebut mengisahkan perpindahan paksa penduduk Palestin di Masafer Yatta oleh tentera dan peneroka Israel.
Sumber: AFP






