PalestinSemasa

Israel Hantar Pulang 171 Aktivis Armada Gaza ke Greece dan Slovakia

Israel pada Isnin menghantar pulang 171 lagi aktivis antarabangsa yang ditahan selepas menyertai misi flotila kemanusiaan Global Sumud yang cuba menembusi sekatan haram ke atas Gaza minggu lalu.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Israel, kumpulan aktivis tersebut terdiri daripada warganegara Greece, Itali, Perancis, Ireland, Sweden, Poland, Jerman, Bulgaria, Lithuania, Austria, Luxembourg, Finland, Denmark, Slovakia, Switzerland, Norway, United Kingdom, Serbia dan Amerika Syarikat.

Antara yang dihantar pulang termasuk aktivis alam sekitar terkenal dari Sweden, Greta Thunberg. Media British The Guardian melaporkan bahawa Thunberg memberitahu pegawai Sweden bahawa dia ditahan dalam keadaan tidak berperikemanusiaan — di dalam sel yang dipenuhi pepijat serta kekurangan makanan dan air.

Dalam laporan berasingan kepada agensi berita Anadolu, aktivis Turki, Ersin Celik, mendakwa tentera Israel telah “menyiksa Greta dengan teruk di hadapan kami,” malah memaksanya “merangkak dan mencium bendera Israel.”

Flotila Cabar Sekatan Haram Israel

Global Sumud Flotilla merupakan armada kapal antarabangsa yang membawa lebih 470 aktivis dari lebih 50 negara, dengan misi menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza serta mencabar sekatan laut Israel yang dianggap menyalahi undang-undang antarabangsa.

Tentera laut Israel telah menyerang dan merampas kapal berkenaan lewat Rabu lalu, sebelum menahan semua aktivis di atas kapal.

Beberapa hari sebelumnya, sekitar 170 aktivis lain telah dihantar pulang ke negara masing-masing, kebanyakannya ke Istanbul, manakala kumpulan lebih kecil dihantar ke Itali dan Sepanyol, menurut laporan pusat undang-undang Israel Adalah.

Israel telah mengenakan sekatan ke atas Gaza selama hampir 18 tahun, menyebabkan 2.4 juta penduduknya hidup dalam penderitaan akibat kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.

Sejak Oktober 2023, serangan udara Israel telah meragut lebih 67,200 nyawa rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak. Sebahagian besar wilayah Gaza kini musnah dan hampir keseluruhan penduduknya kehilangan tempat tinggal, sementara sekatan berterusan mendorong wilayah itu ke ambang kebuluran.

Insiden rampasan flotila ini mencetuskan kecaman antarabangsa terhadap Israel yang terus dituduh melanggar undang-undang kemanusiaan dan menghalang bantuan kepada penduduk Gaza.

TRT World & Agensi

Related Articles

Back to top button