PalestinSemasa

Israel Potong Bekalan Air, Lebih 300 Penduduk Palestin di Tebing Barat Berdepan Risiko Pengusiran

Seramai 47 keluarga Palestin yang merangkumi lebih 300 penduduk—dengan hampir separuh daripadanya merupakan kanak-kanak—kini berdepan risiko pengusiran paksa dari kediaman mereka di utara Lembah Jordan, Tebing Barat yang diduduki.

Kumpulan hak asasi manusia Israel, B’Tselem, dalam satu kenyataan pada Selasa mendedahkan bahawa ancaman itu berpunca daripada tindakan tentera Israel dan peneroka haram yang memotong paip air utama membekalkan kawasan Ras al-Ahmar, Al-Thaala, serta timur Atouf sejak minggu lalu.

Tindakan itu turut disusuli dengan halangan ketat oleh tentera Israel bagi mengelakkan bekalan air diangkut masuk ke kawasan terbabit. Kesemua keluarga yang terjejas bergantung sepenuhnya kepada sektor pertanian dan penternakan sebagai sumber mata pencarian utama.

Strategi Merampas Tanah dan Pembinaan Tembok Pemisah

Menurut B’Tselem, serangan berulang kali ke atas infrastruktur air ini dipercayai sebagai taktik sengaja untuk mengusir komuniti Palestin, seiring dengan kerja-kerja penggalian bagi membina tembok pemisah sepanjang 22 kilometer dari Ein Shibli hingga ke pusat pemeriksaan Tayasir.

Laluan tembok tersebut memotong kawasan pertanian subur di Khirbet Atouf dan Ras al-Ahmar, sekali gus memisahkan penduduk daripada ladang, dusun, rumah hijau, serta perigi air mereka di Tubas dan Tammun. B’Tselem memberi amaran bahawa pembinaan tembok ini berisiko membolehkan rampasan tanah milik rakyat Palestin seluas kira-kira 50 kilometer persegi.

“Sejak kerja-kerja penggalian bermula pada Mac lalu, kerosakan teruk telah berlaku merangkumi penebangan pokok zaitun, pemusnahan tanaman dan rumah hijau, serta perobohan saluran pengairan,” jelas kenyataan B’Tselem.

Kumpulan hak asasi berkenaan turut melaporkan peningkatan ketara dalam serangan oleh peneroka haram Israel terhadap komuniti Palestin di sepanjang laluan tembok tersebut sejak pencerobohan di Gaza meletus pada Oktober 2023.

Sumber: Laporan Agensi Berita Anadolu (AA) / TRT World

Related Articles

Back to top button