KUALA LUMPUR : Sebanyak 70 kes kematian ibu hamil direkodkan setakat 9 Ogos 2021, disebabkan komplikasi jangkitan Covid-19 berbanding tiada kes kematian pada 2020.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, terdapat peningkatan kes kematian dilaporkan sejak Jun 2021 iaitu sebanyak 17 kes kematian.
“Data menunjukkan 15 kes langsung tidak menerima vaksin Covid-19. Berdasarkan maklumat sediada, sebanyak 47% dari kes kematian yang dilaporkan juga mempunyai komorbid.
“Seramai 146,759 ibu hamil telah mendaftar di aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan vaksin Covid-19, sejak kempen ibunisasi dimulakan pada akhir Jun 2021. Daripada jumlah tersebut, seramai 83,251 (57 peratus) ibu hamil telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
“Manakala, seramai 20 peratus ibu hamil telah lengkap menerima 2 dos vaksin.
“Berdasarkan anggaran ibu hamil setahun, peratus ibu hamil yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin di aplikasi MySejahtera masih rendah iaitu sebanyak 40 peratus.” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sementara itu, jumlah kes yang dilaporkan semakin meningkat bermula Oktober 2020, dengan purata 200 kes jangkitan sebulan di mana lonjakan kes dapat dilihat pada Mei 2021 (sebanyak 850 kes) dan Jun 2021 (sebanyak 899 kes).
“Kementerian Kesihatan (KKM) meminta semua ibu hamil untuk mendapatkan vaksin Covid-19 bagi mengurangkan risiko komplikasi sekiranya dijangkiti Covid-19.
“Para suami mestilah memberi sokongan kepada pasangan masing-masing bagi memastikan mereka mendapat suntikan vaksin Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, pengambilan vaksin perlu dilengkapkan sebelum memasuki fasa akhir kehamilan iaitu trimester ketiga.
Sejak Mac 2020 sehingga Jun 2021, sejumlah 3,396 kes Covid-19 dilaporkan dalam kalangan ibu hamil di Malaysia. Dianggarkan hampir satu peratus ibu hamil di Malaysia dijangkiti Covid-19.
Oleh Nurshazlin Shahrom