
Kejayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi orang tengah dalam rundingan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat antara Thailand dan Kemboja disifatkan sebagai pencapaian diplomatik yang harus diraikan dan dibanggakan oleh rakyat Malaysia.
Pengerusi Persatuan Anak Muda MADANI Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata kejayaan itu membuktikan kewibawaan serta kepimpinan Anwar, terutamanya ketika Malaysia memegang peranan sebagai Pengerusi ASEAN.
“Ini kejayaan diplomatik bersejarah yang patut kita banggakan. Malangnya, ada Ahli Parlimen yang menghina dan memperlekeh usaha kerajaan dan Perdana Menteri.
“Tindakan ini bukan sekadar menghina Perdana Menteri, tetapi turut menjejaskan imej negara serta hubungan diplomatik dengan negara-negara terlibat,” katanya kepada media di sini, hari ini.
Zuraidi merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari di media sosial yang didakwa memperlekeh peranan dimainkan Perdana Menteri dalam usaha damai antara Thailand dan Kemboja.
Hantaran yang dimuat naik Ahmad Fadhli turut disertakan dengan tangkap layar laporan berita konflik bersenjata Thailand-Kemboja, sekali gus mengundang kecaman orang ramai.
Mengulas lanjut, Zuraidi menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap Ahmad Fadhli kerana dianggap melampau dan tidak beretika. Beliau memaklumkan bahawa pihaknya bersama tujuh Ketua Cabang PKR di Kedah telah membuat 10 laporan polis agar siasatan segera dapat dijalankan.
Sementara itu, Ketua Cabang PKR Padang Terap, Mohd Tahar Hussin turut menyuarakan gesaan agar tindakan diambil terhadap Ahmad Fadhli.
“Ini kejayaan yang perlu dibanggakan, bukannya dijadikan bahan sindiran, lebih-lebih lagi ia melibatkan keselamatan, hubungan diplomatik dan isu kemanusiaan,” katanya.
— BERNAMA