DuniaSemasa

Kemboja, Thailand Mohon Sokongan Malaysia Percepat Mekanisme Gencatan Senjata Sempadan

Kemboja dan Thailand meminta sokongan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN untuk mempercepatkan pelaksanaan mekanisme pemantauan gencatan senjata bagi memastikan keamanan berkekalan di sempadan kedua-dua negara.

Pada Selasa, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan berasingan dengan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet serta Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai berhubung perkara itu.

Hun Manet dalam hantaran di laman Facebook rasminya berkata beliau menghubungi Anwar untuk membincangkan keperluan mempercepatkan penubuhan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) serta pengoperasian Pasukan Pemerhati Interim (IOT) yang dianggap penting dalam memastikan gencatan senjata dapat dipantau dengan berkesan.

Sementara itu, Phumtham pula memaklumkan beliau menekankan kepada Anwar tentang kepentingan IOT yang baru ditubuhkan agar beroperasi mengikut prinsip dan kerangka yang dipersetujui pada Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) pada 7 Ogos lalu.

“Saya juga mencadangkan mesyuarat GBC bulan depan meneliti semula operasi IOT sekiranya perlu,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas usaha positif dalam menyokong rundingan aman Thai-Kemboja.

Terdahulu, Kemboja dan Thailand bersetuju menamatkan konflik bersenjata di sepanjang kawasan sempadan menerusi mesyuarat khas di Putrajaya pada 28 Julai, selepas lima hari pertempuran sengit.

Gencatan senjata itu dicapai dengan inisiatif Malaysia bersama pemerhati antarabangsa dari Amerika Syarikat dan China, yang turut menggesa penyelesaian segera bagi menjamin keselamatan serantau.

Selepas itu, kedua-dua negara menghadiri mesyuarat GBC di Kuala Lumpur pada 7 Ogos diikuti mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Serantau bersama pegawai atasan tentera di Wilayah Trat, Thailand pada 16 Ogos lalu.

Dalam perkembangan sama, Kementerian Pertahanan Kemboja pada Selasa memaklumkan keadaan di sempadan kini stabil dengan kawalan ketat pasukan keselamatan negara itu di wilayah Preah Vihear, Oddar Meanchey dan Banteay Meanchey.

– Bernama

Related Articles

Back to top button