PalestinSemasa

Kemusnahan Gaza Beri ‘Perasaan Baik’, Israel Rancang Bina 3 Pos Penempatan Baharu di Utara Enklaf

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mencetuskan kontroversi apabila menyatakan bahawa kemusnahan meluas yang berlaku di Semenanjung Gaza memberikan beliau “perasaan yang baik”. Beliau menegaskan kemusnahan berskala besar itu merupakan hasil daripada “dasar yang disengajakan” oleh rejim Tel Aviv.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Katz semasa mengadakan lawatan ke utara Gaza, yang disiarkan oleh stesen televisyen Israel, Saluran 14, pada Isnin.

Apabila diajukan soalan mengenai perasaannya melihat kemusnahan kota Gaza, Katz menjawab dengan sinis: “Perasaan yang baik, bukan?”

Beliau turut menjelaskan bahawa Israel kini telah mengubah strategi ketenteraannya daripada melakukan serbuan sementara kepada pendudukan kekal.

“Daripada sekadar masuk dan keluar, kini tentera berada di dalam, pengganas berada di luar, dan rumah-rumah (di Gaza) dimusnahkan,” katanya.

Rancang Bina Pos Tentera ‘Nahal’ untuk Penempatan Tetap Yahudi

Dalam lawatan yang sama, Katz mengumumkan rancangan agresif untuk menubuhkan tiga pos kawalan ‘Nahal’ di beberapa lokasi di utara Gaza, kawasan yang pernah dikosongkan oleh Israel semasa pengunduran mereka dari wilayah enklaf itu pada tahun 2005.

Pos Nahal merupakan sebuah unit penempatan berkaitan ketenteraan yang digunakan secara strategik untuk membuka kawasan penempatan baharu, sebelum ditukar status menjadi komuniti awam milik pendatang Yahudi secara kekal.

Katz mendakwa langkah itu adalah perlu atas faktor keselamatan bagi memperkukuh kawalan perimeter tentera Israel serta mempertahankan komuniti berhampiran pada masa hadapan.

Kemusnahan Infrastruktur Gaza Mencecah 91 Peratus

Semenanjung Gaza terus mengalami kemusnahan teruk akibat perang genosid yang dilancarkan oleh Israel sejak 8 Oktober 2023.

Berdasarkan perangkaan rasmi pihak Palestin, konflik berdarah itu telah meragut lebih 73,000 nyawa rakyat Palestin dan menyebabkan lebih 173,000 yang lain cedera. Serangan berterusan rejim Israel juga dilaporkan telah merosakkan atau memusnahkan kira-kira 91% daripada keseluruhan infrastruktur asas di wilayah tersebut.

Sumber Berita: Agensi Anadolu (AA)

Related Articles

Back to top button