
Kepala seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang dipercayai dibaham buaya ketika mandi di jambatan sungai berhampiran rumahnya di Kampung Siang-Siang Laut, Terusan, Lawas, pada Selasa lalu ditemukan lewat malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata kepala mangsa ditemui penduduk kampung kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.
Katanya, pasukan keluaran operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada 11.20 malam, diketuai Komander Operasi PBKI Awang Adani Damit bersama Komander Operasi Kanan PPgB Clarence D. Primus Tiandun.
“Pada 12.45 tengah malam, selepas pengesahan dibuat ahli keluarga, objek yang ditemukan disahkan sebagai kepala mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula pagi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang Selasa lalu, mangsa Tuah Lamat, 80, dilaporkan hilang selepas mandi di jambatan sungai berhampiran rumahnya. Ahli keluarga hanya menemui tuala dan selipar dipercayai milik mangsa di lokasi kejadian.
Penduduk kampung kemudian melancarkan pencarian menggunakan perahu di sepanjang sungai namun gagal menemui mangsa sebelum menghubungi pihak bomba untuk bantuan.
— BERNAMA