PolitikSemasa

Kerajaan MADANI Tidak Pandang Perbezaan Politik Dalam Laksanakan Dasar – Ahmad Zahid

Kerajaan MADANI menegaskan pendekatan tanpa membezakan kecenderungan politik terus diamalkan dalam pelaksanaan dasar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah membezakan kawasan mengikut latar politik dalam pengagihan pembangunan wilayah dan peruntukan, sekali gus menolak sebarang dakwaan balas dendam politik.

“Kerajaan MADANI tidak pernah melihat perbezaan politik sebagai asas untuk membalas dendam, tidak pernah,” kata Ahmad Zahid ketika menjadi ahli panel pada forum “Kerajaan MADANI – Retrospektif dan Memeta Perjalanan ke Hadapan” di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Perbadanan Putrajaya, hari ini. Forum ini sebahagian daripada Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 sempena program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku.

Beliau menjelaskan negeri-negeri pembangkang turut menerima peruntukan besar melalui pelbagai lembaga kemajuan wilayah, termasuk Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, menunjukkan pendekatan kerajaan tidak membezakan pihak politik dalam pengagihan sumber. Ahmad Zahid menegaskan UMNO akan terus mendukung Kerajaan MADANI bagi memastikan kestabilan politik serta kelangsungan agenda reformasi nasional. “Insya-Allah saya menyerahkan diri saya dan parti saya untuk mendukung Kerajaan MADANI hingga akhir penggal,” katanya.

Ahmad Zahid turut menggariskan pelbagai pembaharuan dalam sektor perkhidmatan awam termasuk menjadikan kementerian dan agensi sebagai pusat keuntungan berbanding pusat kos serta melaksanakan pendekatan lintas fungsi untuk memecah silo birokrasi. Beliau menekankan pencapaian penting dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan, khususnya melalui ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), dengan peningkatan pelajar lepasan SPM memilih TVET daripada 57.4 peratus pada masa kini kepada sasaran 70 peratus menjelang akhir RMK-13.

Program Rancakkan MADANI selama tiga hari menawarkan lebih 300 titik sentuhan perkhidmatan awam, karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga serta promosi khas kepada pengunjung. Inisiatif ini merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI (PSBKM) dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) yang memberi laporan terus kepada rakyat mengenai pencapaian kerajaan.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button