
SEPANG, 24 September 2025 – Konvoi Flotilla Sumud sekali lagi berdepan ujian ketika berlayar di Laut Mediterranean.
Awal pagi ini, delegasi melaporkan kehadiran sekurang-kurangnya lima belas dron rejim yang berlegar rendah pada selang masa sepuluh minit. Tindakan ini jelas merupakan cubaan intimidasi serta operasi risikan terhadap misi kemanusiaan. Selain itu, lapan letupan udara turut dikesan berhampiran oleh flotilla dan kapal sokongan lain, dipercayai sebagai ugutan terbuka terhadap misi ini.
Walaupun berdepan dengan provokasi berulang, seramai 34 delegasi Malaysia disahkan selamat dan kini berada dalam keadaan bersiap-siaga penuh. Flotilla ketika ini berada di zon kelabu perairan Greece, kira-kira 750 batu nautika dari Gaza, dan masih belum memasuki Zon Kuning mahupun Zon Merah. Insiden ini adalah gangguan kali keempat sejak flotilla memulakan pelayaran di Laut Mediterranean, yang diyakini sebagai usaha berterusan untuk menakutkan serta melemahkan semangat para aktivis.
MAPIM ingin menegaskan bahawa flotilla ini adalah Misi Kemanusiaan Non-Violent, dengan tujuan membawa bantuan ke Gaza dan mendesak agar peperangan serta kebuluran dihentikan segera. Segala bentuk intimidasi terhadap misi ini merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa serta satu ancaman langsung terhadap keselamatan orang awam.
Sehubungan itu, MAPIM menyeru Kerajaan Malaysia untuk segera menyatakan pendirian rasmi dan menuntut perlindungan penuh terhadap para delegasi kita. MAPIM juga mendesak masyarakat antarabangsa agar tidak berdiam diri, sebaliknya segera mengambil tindakan diplomatik bagi menghentikan provokasi rejim terhadap para aktivis kemanusiaan.
Konvoi Flotilla akan terus mara demi membawa suara dunia serta memastikan bantuan kemanusiaan sampai ke Gaza.
Dikeluarkan oleh:
Dato’ (Dr) Sani Araby
Ketua Pegawai Eksekutif, MAPIM Malaysia
Jurucakap Rasmi
Sumud Nusantara Flotilla Command Center