Idlib : Perang lebih 10 tahun bukan sahaja menghancurkan ekonomi Syria, tetapi ia juga menghancurkan sistem masyarakat di sana.
Umum tahu, budaya masyarakat Arab dan termasuk di Syria sangat menghargai anak-anak yatim sehingga rumah anak-anak yatim sangat sukar untuk dijumpai di sana. Apabila ibu bapa meninggal dunia, maka ahli keluarga yang akan menjaga anak-anak itu. Sekiranya anak-anak yatim itu tidak ada saudara mara, jiran pula yang akan menjaga mereka seperti anak sendiri. Ia adalah kehormatan buat mereka.
Namun akibat perang, kehormatan itu perlahan-lahan mula tertanggal.
Pada petang Jun yang nyaman, Ahmed Al-Saleh, 33, sedang berjalan pulang dari kerja apabila mendengar tangisan bayi yang menembusi kegelapan di bandar di barat laut Syria. Semasa memerhati sekeliling, dia terpandang sebuah kotak kadbod di tepi jalan. Dan di dalam kotak itu ada bayi yang baru lahir — seorang bayi perempuan di bandar yang dilanda perang.
Hanya satu pandangan diperlukan oleh Ahmed untuk membuat keputusan. Dia nekad membesarkan bayi itu sebagai anaknya. Dan apabila dia tiba di rumah dengan bayi dalam pelukannya, isterinya juga merasakan perkara yang sama.
Dia membelikan susu untuk bayi itu, dan juga membawanya ke doktor bagi memeriksa kesihatannya.
”Gadis itu datang ke dalam hidup saya sebagai hadiah daripada Tuhan, dan saya tidak akan meninggalkannya, tidak kira dalam keadaan apa pun,” kata Ahmed kepada TRT World.
Kisah seperti Ahmed sering berlaku di Idlib, di mana ibu bapa meninggalkan bayi yang baru lahir, malah ada juga kanak-kanak yang lebih besar. Ia telah menjadi satu krisis sosial terbesar sejak kebelakangan ini.
Bayi telah ditinggalkan di jalanan, di masjid dan juga di dalam tong sampah. Kebanyakan kes berpunca daripada ibu bapa miskin yang tidak mampu menyara anak-anak mereka. Kematian kanak-kanak akibat kebuluran dan cuaca sejuk juga sering dilaporkan.
Sebagai satu-satunya wilayah yang dikuasai pihak penentang di Syria, ekonomi Idlib sudah berada dalam keadaan compang-camping, sama keadaannya di seluruh Syria, selepas 10 tahun konflik yang ganas.
Berjuta-juta orang yang kehilangan tempat tinggal telah berlindung di wilayah Idlib di mana mereka tinggal di tempat perlindungan sementara, bergelut untuk meneruskan kehidupan mereka.
NGO Turki, menganggarkan bilangan anak yatim – termasuk kanak-kanak terbiar di Syria lebih daripada 1.2 juta orang daripada jumlah populasi rakyat 17.5 juta orang.
Menjumpai bayi mungkin mudah tetapi proses untuk menjadi ibu bapa angkat secara sah pula sebaliknya, seperti yang dialami oleh Ahmed.
“Saya berjaya menyelamatkan bayi itu, tetapi masa depannya masih tidak jelas kerana kesukaran untuk mendaftarkannya di jabatan rasmi atau mendapatkan pengenalan diri,” katanya.
“Saya tidak dapat ke kawasan yang dikuasai kerajaan Syria di Hama, kerana takut ditahan oleh pasukan keselamatan Syria.”
Murat Yilmaz, Presiden Yayasan Anak Yatim, memberitahu TRT World terdapat banyak pihak berkepentingan di rantau itu dan setiap pihak mempunyai rumah anak yatim sendiri.
“Apabila bercakap tentang menjaga anak yatim, anak yatim yang ditemui akan dibawa ke rumah anak yatim yang ditadbir oleh pihak berbeza di setiap wilayah. Namun, saya ingin katakan budaya rumah anak yatim adalah sesuatu yang biasa di barat. Di timur – di Iraq, Syria, dan sebagainya, tidak ada budaya rumah anak yatim seperti itu kerana terdapat keluarga besar. Dalam konteks ini, walaupun ibu atau bapa meninggal dunia, masih ada ibu saudara sebelah ibu dan bapa, bapa saudara, datuk nenek untuk menjaga anak-anak tersebut,” kata Yilmaz.
Malah dalam kes tiada saudara mara, jiran pula yang akan mengambil tanggungjawab membesarkan anak yatim itu.
“Sebagai contoh, ada seseorang yang saya kenali di Idlib, dia menjaga tiga orang anak yang dia tidak kenali seperti anak-anaknya sendiri. Beginilah keadaan di Syria. Jadi ya, memang ada yang terbiar, tetapi jumlah ini tidak ramai. Ia dilihat sebagai satu kehormatan jika menjaga anak yatim itu – walaupun dia telah mempunyai 6 hingga 7 orang anak sendiri. Hubungan kekeluargaan sangat kuat. Dalam erti lain, anda tidak akan menemui kanak-kanak terbiar di jalanan.”
Peguam Walid Al-Awad, 44, yang berpangkalan di bandar Sarmada, utara Idlib, menjelaskan walaupun Islam menegah pengambilan anak angkat, terdapat cara yang sah untuk menjadi ibu bapa angkat.
“Kami memanggilnya ‘jaminan’ atau ‘penjagaan alternatif’,” katanya.
Keluarga yang bersedia mengambil anak angkat mesti menulis ikrar di hadapan empat orang saksi. Ikrar itu termasuklah bersetuju untuk menyerahkan kanak-kanak itu kepada saudara-maranya sekiranya mereka muncul.
Selepas menyiasat keadaan rumah dan memastikan keupayaan keluarga untuk membesarkan anak itu, barulah anak yatim itu didaftarkan sebagai anak yang tidak diketahui keluarganya.
Pertambahan bilangan anak yang tidak diketahui keluarganya mendorong aktivis Syria untuk menubuhkan pusat menjaga kanak-kanak ini.
Pengarah Rumah Kanak-kanak, Younes Abu Amin, memberitahu TRT World, “Organisasi Rumah Kanak-kanak membuka pusat jagaan kanak-kanak di bandar Sarmada, dan jumlah kanak-kanak yang didaftarkan telah mencecah 167 orang, dari umur sehari hingga 18 tahun tahun, yang menerima semua keperluan seperti makanan, pakaian, pendidikan dan penjagaan kesihatan.”
Pusat itu berfungsi untuk menyatukan semula kanak-kanak itu dengan keluarga, saudara mara atau keluarga angkat. Mempunyai 19 orang pekerja, pusat ini menyediakan sokongan psikologi dan pendidikan.
Aktivis mengatakan bahawa ibu bapa yang tidak berkemampuan terpaksa meninggalkan anak-anak mereka dengan harapan akan mendapat rumah dan kehidupan yang lebih baik di tempat lain.
Pengangguran adalah tinggi dalam kalangan penduduk di Idlib, ia menyebabkan ibu bapa tidak mempunyai cara untuk menyara keluarga.
Apabila generasi baharu kanak-kanak yang tidak diketahui keturunannya muncul, Nour melahirkan kebimbangan sekiranya kanak-kanak itu membesar dengan parut psikologi yang mendalam apabila mereka menghadapi penderaan, penghinaan dan buli sepanjang kehidupan mereka.
*Diolah dan disunting daripada artikel TRT Word
================
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, MAPIM, menjemput sahabat peduli Ummah untuk sama menjayakan Misi Bantuan Khas Syria.
DUA CARA MENYUMBANG KE DANA BANTUAN KECEMASAN MISI RESCUE SYRIA (MAPIM)
1. Saudara yg prihatin boleh terus menyumbang melalui bank pilihan secara online (FPX):
INFAQ SEKARANG ▶️ www.rayuansyria.com
ATAU
2. Salurkan Sumbangan Menerusi Maybank SYRIA EMERGENCY APPEAL (DANA MAPIM)
Akaun No : 562834636987