TANGKAK: Minat mendalam terhadap bidang pertanian sejak berusia 10 tahun dengan bercucuk tanam sayur-sayuran di kawasan rumah dan menjualnya di pasar kini menjadikan Ustaz Muhammad Firdaus Ismail petani dan penternak berjaya seterusnya mengkomersialkan satu projek penting untuk membantu menjana pendapatan sebuah pusat tahfiz di Johor.
Pengasas syarikat Kelulut Madu Enterprise yang juga kini berkhidmat sebagai Guru Penolong Kanan (GPK) 1, Madrasah An-Nuur (MAN) begitu sibuk dengan aktivitinya sebagai operator mengendalikan An Nuur Farm (Ladang An Nuur) milik pusat tahfiz tersebut di Parit Sekoyan Laut, Kesang laut seluas 0.8 hektar sejak tahun 2013.
Anak kelahiran kampung tersebut yang berusia 35 tahun dan memiliki pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang penternakan madu mula terlibat dalam perniagaan itu setelah ditawarkan oleh seorang bapa pelajar tahfiz untuk mempelajari bidang penternakan kelulut.
Selesai menjalani kursus, beliau bersama seorang lagi guru tahfiz secara kebetulan telah dipelawa untuk mengambil alih 77 sarang lebah kelulut milik seorang penternak yang sedang sakit kerana dia sudah tidak berdaya untuk menguruskannya.
“Kami ditawarkan untuk mengambil alih sarang milik peniaga itu. Jika tidak, kelulut tersebut akan mati, oleh itu, kami membawa kesemua sarang kelulut berkenaan ke Ladang An Nuur dan hasil keuntungan kami bahagi sama rata”.
“Bermula di situ, kami mula membesarkan projek madu kelulut dan ia sangat menggalakkan jika tiba musim bunga yang mana rata-rata ladang tersebut ditanam dengan pokok kelapa“.
“Apabila tiba musim bunga, tuaian yang dibuat dua kali sebulan itu mampu menghasilkan sehingga 80 kilogram yang mana harga jualannya secara borong adalah antara RM150 hingga RM180 sekilogram“.
“Musim bunga di sini adalah antara bulan Mac hingga Jun tetapi apabila di luar musim bunga, hasil madu kelulut adalah kira-kira 40 kilogram sebulan sahaja”, katanya kepada KOSMO!.
Ustaz Muhammad Firdaus berkata, projek madu kelulut kini menjadi sumber kewangan kedua terbesar kepada hasil perolehan MAN selain yuran bulanan dan jualan runcit kafe di pusat tahfiz tersebut serta dua buah koperasi utama di situ.
Beliau berbangga dapat menjayakan projek ladang itu untuk membantu meningkatkan ekonomi MAN selain memberi peluang kepada beberapa pelajar tahfiz yang berminat untuk terlibat dalam projek berkenaan.
“Buat masa sekarang, ada dua pelajar akan membantu menuai hasil kelulut kerana kami sebenarnya tidak mahu mengganggu sesi pembelajaran mereka di madrasah“.
“Kami juga mewakilkan seorang pelajar untuk mengendalikan projek fertigasi tanaman buah rock melon atau tembikai wangi dan ia bakal dituai dalam tempoh dua minggu akan datang,” katanya.
Ustaz Muhammad Firdaus berkata, tanaman rock melon yang melibatkan sebanyak 40 pokok itu adalah projek kedua ladang berkenaan setelah berjaya menanam pokok cili secara fertigasi sebelum ini, bagaimanapun sesi penuaian pokok cili yang terlalu rumit dan melibatkan masa serta tenaga, membuatkan pihaknya mencari alternatif lebih mudah.
Kejayaan projek fertigasi itu telah membuatkan Jabatan Pertanian terus membantu projek Ladang An Nuur dengan menyediakan pelbagai inisiatif termasuk bantuan terbaharu berupa sistem fertigasi lebih canggih yang bernilai RM20,000.
“Kami bercadang untuk meluaskan lagi projek rock melon kepada 1,000 pokok pada masa depan,” jelasnya sambil memberitahu terdapat tanaman pokok jambu batu untuk menambah lagi pendapatan yang dijual secara runcit kepada komuniti“.
Minat dan usaha Ustaz Muhammad Firdaus itu sering mendapat sokongan daripada Ustaz Noor Effendi yang meneruskan projek penternakan kambing di ladang itu.
Ia kini memiliki 60 ekor kambing jenis biri-biri dan boer sejak tiga tahun lalu.
Permintaan yang tinggi daripada penduduk kampung khususnya memenuhi keperluan korban pada Hari Raya Aidiladha membuatkan ladang ini semakin popular kerana berjaya menghasilkan binatang ternakan yang sihat dengan daging berkualiti.
Beliau juga akan meneruskan projek baharu dengan menternak ikan keli dalam baki kawasan ladang tersebut yang mana ia juga bertujuan untuk memenuhi keperluan bekalan sumber makanan untuk pelajar tahfiz di MAN.
Kepuasan diri dan kesungguhan Ustaz Muhammad Firdaus dalam mengembangkan perniagaan sedia adanya serta dalam masa yang sama menyumbang kepada pendapatan MAN menjadikan beliau tidak pernah berasa lelah dan jemu, malah terus bersemangat untuk menaikkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi menjayakan projek berkenaan setiap tahun.
Beliau mahu menambah lagi sumbangan hasil dari Ladang An Nuur kepada lebih daripada RM10,000 setiap tahun dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.
Lebih menarik, ladang berkenaan telah menerima banyak kunjungan daripada Pegawai Daerah Tangkak, pengurusan kanan jabatan pertanian, pensyarah dari institusi pengajian tinggi, malah juga lawatan daripada pelajar sekolah yang mahu melihat dengan lebih dekat hasil air tangannya itu.