
Bekas Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Asni Marjan, 56, memberitahu Mahkamah Koroner bahawa tiada seorang pun warden asrama bertugas pada malam Zara Qairina Mahathir ditemui tidak sedarkan diri.
Asni, yang kini ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), mendedahkan warden yang dilantik Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan menerima elaun tidak bertugas pada malam kejadian. Beliau juga menjelaskan beberapa guru dilantik sebagai guru asrama tanpa elaun, dan jadual tugasan bulanan disediakan tanpa perbincangan dengannya.
Beliau mengesahkan bahawa pentadbir sekolah melantik ketua warden, Rezany Mohd Taupek, tanpa kelulusan JPN, menjadikan pelantikan itu tidak sah. Asni menambah beliau biasanya memantau tugasan warden melalui buku laporan tetapi tidak mengingati catatan pada malam kejadian, 15 Julai.
Asni turut berkongsi bahawa beliau menerima panggilan daripada ketua warden pada kira-kira 3.25 pagi 16 Julai tetapi tidak ke lokasi, memberi kepercayaan kepada ketua warden menguruskan keadaan sebelum beliau sendiri ke hospital. Beliau hanya hadir di lokasi pada hari ketiga dan menekankan bahawa beliau tetap menyantuni ibu bapa pelajar selepas kejadian.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolah pada 4 pagi 16 Julai. Prosiding inkues bersambung esok.
Sumber: Bernama







