
Lebih 200 tokoh terkenal di Jerman termasuk artis dan wartawan telah menandatangani satu surat terbuka mendesak Canselor Friedrich Merz agar mengambil pendirian lebih tegas terhadap Israel berikutan serangan berterusan rejim itu ke atas Gaza yang telah mengorbankan ribuan nyawa tidak berdosa, termasuk kanak-kanak.
Surat yang diterbitkan pada Khamis itu menggesa kerajaan Jerman menghentikan semua eksport senjata ke Israel, mengenakan sekatan baharu terhadap Tel Aviv, dan mendesak agar gencatan senjata segera dilaksanakan serta bantuan kemanusiaan diberi laluan tanpa halangan.
“Kami juga mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman yang dilakukan oleh Hamas. Namun tiada sebarang jenayah yang harus dijadikan alasan untuk hukuman kolektif terhadap berjuta-juta penduduk yang tidak bersalah, apatah lagi secara kejam,” menurut kenyataan bersama itu.
Penandatangan surat tersebut termasuklah pelakon terkenal seperti Liv Lisa Fries (Babylon Berlin), Katharina Thalbach (Miss Merkel), dan Benno Fürmann (North Face). Mereka menekankan bahawa kanak-kanak di Gaza kini menjadi mangsa utama konflik ini — kebuluran, kehilangan tempat tinggal, dan trauma akibat peperangan yang tiada kesudahan.
“Lebih 17,000 telah terbunuh, ratusan ribu lagi cedera dan hidup dalam keadaan penuh ketakutan,” kata mereka.
Surat itu juga mencadangkan supaya Jerman menyokong penggantungan Perjanjian Persatuan antara EU dan Israel, sebagai satu langkah tekanan diplomatik terhadap Tel Aviv.
Merz sebelum ini menyatakan bahawa kerajaan beliau sedang menilai langkah untuk meningkatkan tekanan terhadap Israel, termasuk mempertimbangkan tindakan konkrit susulan situasi kemanusiaan di Gaza yang beliau gambarkan sebagai “bencana”.
“Kami mempunyai hak untuk mengambil langkah sedemikian,” kata Merz dalam kenyataan kepada media pada Isnin lalu, sambil menambah bahawa Kabinet Keselamatan Jerman sedang berbincang mengenai pilihan-pilihan dasar yang ada.
Gesaan ini mencerminkan perubahan dalam sentimen awam di Jerman yang selama ini merupakan salah satu sekutu rapat Israel di Eropah. Surat terbuka itu menegaskan bahawa langkah-langkah yang dicadangkan “selaras dengan nilai-nilai Eropah” dan memberi isyarat jelas bahawa “walaupun sekutu paling akrab tidak akan terus bertolak ansur dengan penderitaan yang berpanjangan.”
Sumber: Anadolu Agency / TRT Global