
Pemangku ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tengku Hazman Raja Hassan, menghamburkan pujian kepada barisan pemainnya selepas berjaya menundukkan DPMM FC 1-0 dalam aksi Liga Super 2025-2026 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam tadi.
Kemenangan tipis namun berharga itu menyaksikan skuad Penyu berjaya mengutip mata penuh di laman sendiri meskipun berdepan kekangan jadual perlawanan yang padat. Gol kemenangan pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Engku Nur Shakir Engku Yacob, sekali gus menceriakan ribuan penyokong yang hadir ke stadium.
Semangat Juang Atasi Keletihan
Tengku Hazman mengakui faktor kepenatan menjadi cabaran utama anak buahnya memandangkan pasukan itu baru sahaja pulang dari perlawanan di Kuala Lumpur dua hari sebelum aksi tersebut.
“Saya rasa malam ini dari segi permainan, hantaran dan keseluruhan saya berpuas hati. Walaupun nampak ketara pemain keletihan, mereka tetap memberi persembahan terbaik dan komitmen yang tinggi demi memastikan kemenangan kedua pada malam ini,” ujar beliau dalam sidang media selepas perlawanan.
Beliau turut memberikan kredit khusus kepada pemain tengah import baharu, Panshanbe Ehsoni, yang disifatkan berjaya menyesuaikan diri dengan taktikal pasukan dalam tempoh yang singkat.
Kelemahan Penyudah DPMM FC
Di kem lawan, pengendali DPMM FC, Jamie McAllister, mengakui pasukannya gagal memanfaatkan peluang keemasan akibat kelemahan membuat keputusan di zon serangan akhir. Walaupun berpuas hati dengan semangat juang dan kualiti hantaran anak buahnya, beliau menyedari kegagalan penyudah yang kemas menjadi punca kekalahan mereka.
McAllister bagaimanapun memuji persembahan penjaga golnya, Haimie, yang bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya bagi mengelakkan pasukannya daripada bolos lebih besar.
Sumber: BERNAMA







