PalestinSemasa

Malaysia Komited Gerakkan OIC, Kecam Pencabulan Israel – Anwar

Malaysia bersedia menggerakkan semua pemimpin negara Islam melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi mengutuk tindakan biadab rejim Israel yang terus mencabuli hak asasi manusia antarabangsa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, inisiatif itu termasuk menghubungi Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan serta beberapa pemimpin Islam lain bagi menyatakan bantahan bersama.

“Kalau perlu, saya sendiri akan hubungi Emir Qatar, termasuk beberapa pemimpin Islam lain, Erdogan dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman serta beberapa yang lain, kerana kebiadapan Israel ini amat keterlaluan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan ke-9 (ICOSH 2025) di sini, hari ini.

Anwar mengulas mengenai serangan udara terbaharu Israel di Doha, Qatar semalam yang menyasarkan kepimpinan politik Hamas ketika mereka dipercayai bermesyuarat mengenai cadangan gencatan senjata Gaza yang disokong Amerika Syarikat.

Serangan di kawasan Leqtaifiya itu melibatkan kira-kira 15 jet pejuang Israel dan mengorbankan enam orang termasuk anak kepada pemimpin kanan Hamas Khalil al-Hayya, pengarah pejabatnya serta seorang pegawai keselamatan Qatar. Bagaimanapun, kepimpinan utama Hamas dilaporkan terselamat.

Turut hadir pada majlis pelancaran ICOSH 2025 ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Prof Emeritus Datuk Dr Mohamad Abd Razak, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman dan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Prof Dr Kadaruddin Aiyub.

Persidangan ICOSH 2025 yang bertemakan “Hubungan Kemanusiaan dalam Era Kecerdasan Buatan dan Teknologi” memberi tumpuan kepada pelbagai bidang termasuk kerja sosial, psikologi, linguistik, komunikasi, budaya, politik, agama, kajian digital dan ekonomi.

Melalui Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UKM terus memperkukuh kerjasama akademik global bagi mempertingkat kefahaman dan respons terhadap isu-isu sosial yang semakin kompleks.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button