
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia untuk memastikan ASEAN kekal bersatu dan melangkah sederap demi kestabilan, kemakmuran serta keamanan sejagat.
Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi beliau malam ini, Anwar berkata Malaysia akan terus memacu pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), mempercepat pembangunan Grid Tenaga ASEAN, dan memuktamadkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN.
“Langkah ini penting untuk menjamin masa depan ekonomi yang terbuka, adil dan lestari untuk 660 juta rakyat di rantau ini,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa ASEAN perlu kekal tegas dan memainkan peranan kepimpinan yang aktif dalam persekitaran global yang kini sedang dilanda ketegangan kuasa besar, perlumbaan geoekonomi yang tidak menentu dan keruntuhan nilai multilateralisme.
“ASEAN tidak boleh melemah, berpecah atau ketinggalan. Kita mesti bersatu untuk memperkukuh peranan serantau serta memastikan suara ASEAN terus dihormati,” tegas beliau.
Malaysia Pacu Usaha Keamanan Serantau
Mengulas peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Anwar berkongsi kejayaan negara dalam memediasi konflik antara Kemboja dan Thailand, yang menurutnya hampir terseret ke kancah perbalahan lebih besar.
“Dengan penglibatan aktif China dan Amerika Syarikat, kita berjaya mencapai persetujuan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat,” katanya, sambil menyifatkan ia sebagai bukti kekuatan diplomasi dan kepimpinan teguh yang ditunjukkan Malaysia.
Dalam rangka lawatan kerja ke Indonesia, Anwar turut hadir buat pertama kali di Gedung Sekretariat ASEAN di Jakarta, bersempena peranan penting Malaysia selaku pengerusi blok serantau itu tahun ini.
Beliau menyifatkan kehadiran tersebut sebagai lambang komitmen tidak berbelah bahagi Malaysia terhadap semangat dan cita-cita murni ASEAN.
“Ia menggariskan serta menonjolkan kesungguhan kita dalam memperkukuh solidariti dan hala tuju rantau ini dalam mendepani cabaran global,” katanya mengakhiri hantaran.
— BERNAMA