
Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak kini sedang melaksanakan kajian semula terhadap kadar sewaan kemudahan sukan di bawah seliaan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) yang disifatkan sebagai terlalu tinggi dan membebankan pengguna.
Menterinya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kadar sewaan sedia ada telah dibekukan buat sementara waktu bagi membolehkan perbincangan diadakan bersama pihak SSC untuk menetapkan harga yang lebih munasabah.
Jelas beliau, langkah semakan itu selaras dengan aspirasi Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mahu memastikan kemudahan sukan dapat diakses dan dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat, termasuk penduduk di kawasan luar bandar.
“Jika kadar terlalu tinggi, penduduk kampung sukar untuk menyewa kemudahan yang disediakan. Oleh itu, kita akan menilai semula (bagi mendapatkan) kadar yang lebih berpatutan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Kompleks Sukan Mini Selangau di sini, hari ini.
Menurut Abdul Karim, pihaknya menyedari terdapat kemudahan sukan yang dibina kerajaan tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang ramai akibat kadar sewaan yang mahal, termasuk maklum balas yang diterima daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya.
Persiapan Sukan SEA 2027
Dalam perkembangan berkaitan persiapan Sarawak sebagai tuan rumah bersama Sukan SEA 2027, beliau memaklumkan bahawa kerja-kerja menaik taraf pelbagai venue sedang giat dijalankan.
Proses tersebut dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga hingga empat bulan sebelum temasya sukan berprestij itu dijadualkan berlangsung pada September 2027.
Antara fasiliti yang terlibat dalam proses naik taraf termasuklah Stadium Sarawak serta venue bagi acara wushu, menembak, memanah, skuasy, tenis, petanque, renang, dan golf.
Kompleks Sukan Mini Selangau
Terdahulu, mengulas mengenai projek Kompleks Sukan Mini Selangau, Abdul Karim memberitahu projek bernilai RM11.5 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada November 2027.
Projek tersebut sebelum ini mengalami kelewatan akibat isu reka bentuk, tapak, dan masalah kewangan kontraktor terdahulu. Ia kini telah disusun semula dengan pelantikan kontraktor baharu dan tempoh pembinaan ditetapkan selama dua tahun.
Kompleks tersebut bakal dilengkapi dengan trek larian, padang bola sepak mengikut piawaian FIFA dan Olimpik, serta grandstand yang mampu memuatkan 300 penonton.
Tambahnya, kementerian turut meneliti cadangan penambahan fasiliti lain seperti gelanggang futsal dan sukan komuniti, selain pemasangan pagar keselamatan bagi mengelakkan kejadian vandalisme dan kecurian.
Sumber: BERNAMA






