BANGI: Seminar Muslim di Asia Tenggara telah diadakan di Ummah Hall, Wisma MAPIM bagi membincangkan prospek dan cabaran yang dihadapi oleh umat Islam di wilayah ini.
Dalam suasana ketidaktentuan global semasa, umat Islam di Asia Tenggara juga menghadapi cabaran yang besar jadi penganjuran seminar ini adalah bertujuan meneroka isu-isu berkenaan dengan lebih mendalam.
Seminar ini penting kerana Malaysia akan memimpin ASEAN pada tahun 2025, oleh itu adalah wajar untuk mempertimbangkan status semasa majoriti Islam di Malaysia, Brunei, dan Indonesia, serta minoriti Islam di Myanmar, Thailand, Laos, Kemboja, Vietnam, Singapura, dan Filipina.
Seminar ini disampaikan oleh Presiden MAPIM, Cikgu Azmi Abdul Hamid dan dirasmikan oleh YDP Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.
Seminar ini juga menarik perhatian pihak-pihak yang berkepentingan, termasuk Philippines Muslim Mindanao Consultative Council Inc yang sedang mendapatkan sokongan daripada NGO Malaysia dan syarikat tempatan untuk membantu pendidikan dan infrastruktur mereka di Filipina.
Menerusi temubual bersama Dr Zulfikar J Abantas selaku Presiden Muslim Mindanao Consultative Council Inc, beliau berkongsi rasa senang pihaknya dalam menjalinkan kerjasama bersama MAPIM.
“Berkaitan misi kemanusian yang dilaksanakan oleh MAPIM, itu adalah satu usaha yang sangat baik dan kami telah rasakan pengalaman itu.”
“MAPIM telah membantu orang Muslim di Filipina terutama di kawasan saya di Mindanao,” katanya.
Kehadiran mereka di seminar ini dianggap sebagai langkah positif dalam membangun hubungan dan kerjasama yang lebih kukuh antara Malaysia dan Filipina.
Dengan kehadiran perwakilan dari negara luar dan organisasi, seminar ini akan menyediakan ruang untuk mendengar pandangan, pengalaman, dan penyelesaian yang dicadangkan.
Seminar Muslim di Asia Tenggara ini diharapkan akan memberikan landasan yang kukuh untuk bekerjasama dalam meningkatkan keadaan umat Islam di rantau ini.