DomestikSemasa

Lori dan bas terlebih muatan dikenakan saman dalam operasi khas JPJ Melaka

Oleh : Thoriq

Sebanyak 335 kenderaan perdagangan dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka dalam Ops Khas Gempur Kenderaan Perdagangan, yang dilaksanakan di seluruh negeri bermula 1 September lalu.

Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, sepanjang operasi itu sebanyak 648 saman telah dikeluarkan, manakala tiga lori turut disita selepas didapati membawa muatan berlebihan selain lesen kenderaan motor dan insurans yang telah tamat tempoh.

“Sepanjang sembilan hari operasi, sebanyak 13,116 kenderaan diperiksa, termasuk 2,034 kenderaan barang. Daripada jumlah itu, tindakan diambil ke atas 335 kenderaan perdagangan melibatkan 150 lori di bawah 7,500 kilogram (kg), 168 lori melebihi 7,500 kg, lapan bas ekspres, lapan bas pelancong serta sebuah kenderaan e-hailing,” katanya pada sidang media selepas operasi di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh Arah Utara, Lebuhraya Utara-Selatan, hari ini.

Menurut Siti Zarina, sebanyak tujuh kertas siasatan dibuka berkaitan kesalahan muatan berlebihan lori barang, manakala dua lagi kertas siasatan dibuka terhadap pengendali bas pelancong kerana gagal menyediakan senarai penumpang dan melanggar syarat lesen pengendali di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Dalam operasi semalam yang dijalankan dari jam 6 pagi hingga 10.30 pagi, lapan daripada 10 lori yang diarahkan untuk ditimbang didapati membawa muatan melebihi had.

“Antara barangan yang dibawa oleh kenderaan berkenaan termasuk bahan binaan, kelapa sawit, baja dan makanan ternakan ayam. Kesemua pemandu dikenakan kompaun atas kesalahan berkenaan,” katanya.

Related Articles

Back to top button