PolitikSemasa

Mohd Shukri Ramli umum letak jawatan sebagai Menteri Besar Perlis atas faktor kesihatan

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, hari ini mengumumkan peletakan jawatannya secara sukarela atas faktor kesihatan, sekali gus menamatkan tempoh pentadbiran beliau yang bermula selepas Pilihan Raya Umum ke-15. Pengumuman itu dibuat dalam satu sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar, selepas beliau mempersembahkan surat peletakan jawatan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, pada tengah hari tadi.

Mohd Shukri menjelaskan bahawa peletakan jawatan tersebut hanya akan berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Raja Perlis, sambil menyerahkan sepenuhnya keputusan itu kepada kebijaksanaan baginda. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga pentadbiran kerajaan negeri dan rakyat Perlis atas kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh beliau menerajui kerajaan negeri.

Dalam kenyataannya, Ahli Dewan Undangan Negeri Sanglang itu turut merakamkan junjungan kasih kepada Raja Perlis, Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil kerana memberi kepercayaan dan peluang kepadanya untuk memegang jawatan Menteri Besar selama hampir tiga tahun.

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada pucuk pimpinan parti dan seluruh ahli parti yang telah memberi sokongan dan kepercayaan kepadanya, selain memohon ampun dan maaf atas sebarang kekhilafan dan kekurangan sepanjang menggalas amanah sebagai ketua kerajaan negeri.

Peletakan jawatan ini berlaku selepas laporan media pada 22 Disember lalu yang menyatakan Mohd Shukri menerima rawatan di sebuah hospital di ibu negara akibat sakit dada sebaik pulang daripada urusan luar negara. Pejabat Menteri Besar Perlis memaklumkan beliau dikejarkan ke hospital untuk menjalani pemeriksaan lanjut selepas mengadu mengalami simptom tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, landskap politik Perlis turut berdepan ketidaktentuan apabila dilaporkan beberapa ADUN Perikatan Nasional telah menghadap Raja Perlis bagi menyatakan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Mohd Shukri. Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, kemudiannya mengumumkan bahawa keahlian tiga ADUN PAS iaitu Saad Seman dari Chuping, Fakhrul Anwar Ismail dari Bintong dan Mohd Ridzuan Hashim dari Guar Sanji terhenti serta-merta selaras dengan peruntukan Perlembagaan PAS.

Susulan itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Rus’sele Eizan, mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi tiga kerusi DUN berkenaan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis. Pada PRU15, Perikatan Nasional memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN Perlis, dengan sembilan dimenangi PAS, lima oleh Bersatu, manakala satu kerusi Indera Kayangan dimenangi PKR.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button