
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan prestasi penjawat awam di negara ini sebagai sangat membanggakan dan berdaya tahan dalam menangani pelbagai cabaran luar jangka, terutamanya ketika mendepani impak krisis tenaga global yang masih berterusan.
Beliau berkata, kejayaan tersebut berakar umbi daripada budaya dan tradisi perkhidmatan awam yang teguh, selain didorong oleh semangat kesatuan serta perpaduan yang jitu dalam kalangan kakitangan awam.
“…yang menakjubkan, syukur Alhamdulillah, budaya dan tradisi kita dalam perkhidmatan awam ini menunjukkan kalau ditekan, ditegaskan dan ada semangat kesatuan, perpaduan, banyak boleh selesai. Lihat saja prestasi negara kita, bukan sahaja sebelum krisis, tetapi juga selepas (krisis),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini. Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan bahawa pencapaian cemerlang penjawat awam secara umumnya meletakkan Malaysia pada kedudukan yang lebih kompetitif berbanding beberapa negara jiran.
Tegas beliau, walaupun kritikan terhadap ahli politik dan penjawat awam sering kedengaran, keberkesanan gerak kerja mereka tidak boleh dinafikan dan harus diiktiraf.
“Jadi, jangan kita lupa.. jangan kita asyik berleter seharian tentang masalah-masalah. Masalah itu ada tetapi perhatikan juga tentang prestasi yang kita lakukan,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menggesa warga perkhidmatan awam supaya lebih proaktif dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat. Beliau menekankan bahawa peranan mereka bukan sekadar mempertahankan kerajaan, tetapi untuk menjelaskan fakta dan memberi pandangan balas yang membina.
“Penjawat awam harus menjelaskan. Bukan soal mempertahankan Perdana Menteri atau menteri ataupun kerajaan, tetapi menyatakan hak dan memberi pandangan balas jika ada perkara yang tidak disenangi atau perlu diusulkan,” katanya lagi.
— BERNAMA







