
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma, Jakarta, pada pukul 7.40 malam waktu tempatan untuk memulakan lawatan kerja dua hari ke Indonesia. Beliau akan menghadiri Rundingan Tahunan Ke-13 bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, yang dijadualkan berlangsung esok di Istana Merdeka, Jakarta Pusat.
Ketibaan Anwar disambut oleh Menteri Luar Negeri Indonesia, Sugiono, Menteri Dalam Negeri, Tito Karnavian, dan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin. Ini merupakan rundingan pertama antara kedua-dua pemimpin negara serumpun ini, selepas rundingan terakhir diadakan di Kuching, Sarawak pada 22 November 2017.
Rundingan ini bertujuan memperkukuh kerjasama strategik dan menyeluruh antara Malaysia dan Indonesia, sambil meneroka bidang kerjasama baharu. Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Selain itu, Anwar dijadualkan melawat Sekretariat ASEAN di Jakarta atas jemputan Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn. Beliau akan menyampaikan ucapan dasar mengenai peranan ASEAN, dalam konteks Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025.
Sumber: BERNAMA