Prof Datuk Dr Muhammad Tauffik dilantik TNC USIM

SEREMBAN: Prof Datuk Dr Muhammad Tauffik Mohd Noor dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) selama 3 tahun berkuat kuasa pada Selasa.
Jawatan berkenaan sebelum ini digalas oleh Prof Ts Dr Sharifudin Md Shaarani yang juga Naib Canselor USIM.
USIM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Dr Muhammad Tauffik merupakan profesor dalam bidang Perubatan Keluarga di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM sejak 2013, dan pernah berkhidmat di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (1994-2004) serta Universiti Malaysia Sabah (2005-2013).
Beliau banyak berjasa dalam membangunkan kurikulum prasiswazah program perubatan USIM berpaksikan integrasi ilmu Naqli dan Aqli, program pascasiswazah dalam bidang Perubatan Keluarga, penyelidikan dalam bidang Perubatan Keluarga, Penjagaan Paliatif dan Kesihatan Lelaki.
“Beliau turut dilantik sebagai ahli Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dari 2011-2013 dan panel penilai program perubatan di insititusi pengajian tinggi seluruh Malaysia selain program perubatan di Tunisia dan Morocco,” menurut kenyataan itu.
Sebagai profesor perubatan yang mempunyai pengalaman akademik dan klinikal di Sabah selama 8 tahun, beliau dilantik sebagai wakil Malaysia dalam pertubuhan antarabangsa sejak 2008 termasuk bagi Rural Health Action Party, World Family Doctor (WONCA) dan menyumbang penulisan bertajuk Rural Health Education in Malaysia dalam buku Rural Health Education Guide Book.
“Diharapkan kepakaran dan pengalaman dimiliki itu dapat memperkasakan agenda penyelidikan dan inovasi serta memacu USIM terus ke hadapan,” tambah kenyataan itu.
Pelantikan Prof Datuk Dr Muhammad Tauffik Mohd Noor dilihat akan memajukan bidang penyelidikan USIM agar terus menjadi syiar kebaikan buat negara mahupun di persada antarabangsa.