DomestikSemasa

Ras Adiba saran semua pihak ganding bahu perkasa komuniti OKU

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi menyarankan semua pihak supaya mengukuhkan jalinan kerjasama dalam merealisasikan usaha memperkasakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di negara ini.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan serta pihak swasta juga perlu berganding bahu memainkan peranan masing-masing pada tahap optimum bagi membantu golongan berkenaan dalam segenap aspek.

Ia bukan sahaja melibatkan pemerkasaan terhadap penyediaan dan pembangunan fasiliti mesra OKU malah lebih mustahak ialah menawarkan lebih banyak pusat-pusat perkembangan dan pendidikan buat golongan ini.

“Dua perkara ini cukup penting kerana selalunya golongan OKU ini mempunyai suatu kemahiran tersendiri yang hebat dan luar biasa, jadi tugas kita adalah untuk membuka jalan atau menjadi pemudah cara kepada mereka menyerlahkan potensi diri,” katanya kepada Bernama hari ini.

Ras Adiba berkata demikian selepas merasmikan pameran lukisan hasil karya komuniti OKU autisme yang bertemakan ‘Prosperity Rabbit‘ di Da Men Mall, Subang Jaya hari ini.

Mengulas mengenai pameran berkenaan, beliau menyifatkan ia satu platform yang cukup baik dalam memberi pendedahan kepada orang ramai supaya lebih menghargai bakat seni serta kemahiran golongan OKU. – BERNAMA

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button