SemasaSukan

RBMRC 2025: Hakim Danish Sasar Tamat Musim Sebagai Juara Keseluruhan

Pelumba muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli, menaruh impian menutup tirai Kejuaraan Piala Rookies Red Bull MotoGP (RBMRC) 2025 sebagai juara keseluruhan sekali gus membuka peluang beraksi di Kejuaraan Dunia Moto3 musim hadapan.

Dengan baki dua pusingan di Spielberg, Austria pada 16 dan 17 Ogos serta perlumbaan penutup di Litar Misano, Itali pada 13 dan 14 September, pelumba berusia 18 tahun itu hanya perlu mengekalkan kedudukan podium untuk meraih gelaran tersebut.

Hakim kini mendahului carta keseluruhan dengan 154 mata, mengatasi pelumba Sepanyol, Brian Uriarte, dengan kelebihan 13 mata, dan pelumba Indonesia, Veda Pratama, yang berada di tempat ketiga dengan jurang 24 mata.

“Fokus utama saya kini adalah memastikan kejuaraan RBMRC menjadi milik saya. Saya mahu tampil dengan prestasi terbaik pada baki perlumbaan,” katanya pada majlis penyerahan motosikal Yamaha Y15ZR miliknya yang dinaik taraf oleh UMA Racing dan RCB di Puchong hari ini.

Sebagai suntikan semangat, UMA Racing dan RCB menghadiahkan komponen naik taraf bernilai lebih RM20,000 kepada pelumba kelahiran Terengganu itu.

Dalam pusingan kelima di Litar Sachsenring, Jerman bulan lalu, Hakim menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-10 dan gagal menamatkan Perlumbaan 2 selepas terjatuh ketika berada di kedudukan ketujuh dengan baki 15 pusingan.

Penolong Pengurus Besar UMA Racing, Alfred Lim Chiu Siong, berharap sokongan ini dapat membakar semangat Hakim dan pelumba tempatan lain untuk terus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button