
Kerajaan bakal memperuntukkan RM1.4 bilion secara berfasa dalam tempoh lima tahun bagi memperkukuh program penanaman semula kelapa sawit yang melibatkan pekebun kecil, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030) (RMK13).
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu penting bagi menjamin kelestarian industri sawit negara, dengan menumpukan kepada penggantian pokok sawit tua yang kurang produktif.
“Sesi perbahasan di Parlimen bagi RMK13 akan bermula Isnin ini, dan kami menjangkakan banyak maklum balas akan diterima daripada ahli-ahli Parlimen. Dalam hal ini, Kementerian Perladangan dan Komoditi melihat usaha kerajaan untuk meningkatkan penanaman semula pekebun kecil sebagai satu langkah yang positif,” katanya.
Menurut Johari, program ini penting bagi memastikan Malaysia terus kekal sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia dan membantu meningkatkan nilai eksport negara, yang kini mencecah RM115 bilion.
“Jika lebih ramai pekebun kecil menyertai program tanam semula, kita akan mampu meningkatkan lagi hasil dan sumbangan sektor ini kepada ekonomi negara,” tambah beliau selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Johor Bahru di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan RMK13 pada Khamis lalu menegaskan bahawa kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan subsektor agrikomoditi yang merangkumi sawit, getah dan koko.
Anwar turut menyatakan bahawa usaha meningkatkan produktiviti subsektor ini akan disokong menerusi penggunaan teknologi moden seperti mekanisasi, automasi, robotik serta pelaburan dalam RDCI – iaitu penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi – termasuk pensijilan kemampanan.
Langkah ini selari dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan industri agrikomoditi lebih mampan, berdaya saing dan berorientasikan masa depan, sejajar dengan perkembangan global serta keperluan keselamatan makanan dan bahan mentah negara.
— BERNAMA