
SHAH ALAM, 25 April – Kerajaan Negeri Selangor kini sedang meneliti kemungkinan untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape di negeri tersebut, sebagai langkah memperkukuh kawalan terhadap produk yang memberi risiko kepada kesihatan awam.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin, memaklumkan bahawa satu mesyuarat bersepadu akan diadakan dalam masa terdekat bersama beberapa agensi penting termasuk Pejabat Menteri Besar, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), serta pihak berkuasa tempatan (PBT). Mesyuarat ini bertujuan untuk memperhalusi aspek penguatkuasaan, perundangan serta implikasi sosioekonomi sekiranya larangan itu dilaksanakan.
Menurut Jamaliah, di peringkat persekutuan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JKNS memainkan peranan utama dalam mengawal selia pendaftaran produk merokok, pelabelan, pembungkusan, penjualan dan penguatkuasaan kawasan larangan merokok dan penggunaan vape di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852].
Sementara itu, di peringkat negeri, lesen perniagaan dikawal selia oleh PBT, dan setakat ini lesen yang dikeluarkan hanya merangkumi penjualan peralatan elektronik secara umum, bukan khusus untuk produk vape atau cecairnya.
“Sebarang keputusan yang bakal diambil akan berlandaskan kajian menyeluruh yang mengambil kira kepentingan kesihatan awam, keberkesanan penguatkuasaan serta kesejahteraan rakyat Selangor,” katanya.
Jamaliah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang prihatin terhadap isu ini, termasuk saranan yang dikemukakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, baru-baru ini. Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri komited untuk meneliti isu ini secara menyeluruh sebelum sebarang tindakan diambil.
Sebagai perbandingan, Kerajaan Negeri Terengganu telah mengumumkan pelaksanaan larangan penjualan produk rokok elektronik di semua premis bermula 1 Ogos ini. Pada 18 April lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut menyatakan kesediaan kerajaan negeri untuk mengkaji keperluan larangan serupa seperti yang dicadangkan oleh pihak polis.
sumber : bernama
oleh Ehmi-san
wartawan underground