
Sumud Nusantara Command Center (SNCC) berperanan sebagai benteng utama dalam menangkis propaganda serta perang psikologi rejim Zionis berhubung krisis kemanusiaan di Gaza, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery.
Beliau yang juga jurucakap rasmi SNCC menegaskan rejim Israel terkenal dengan strategi komunikasi terancang dan propaganda agresif, justeru kehadiran SNCC amat penting sebagai pusat kawalan naratif, lebih-lebih lagi ketika hampir 70 bot Global Sumud Flotilla kini sedang berlayar menuju Gaza.
“Kita tahu mereka (Israel) akan mula merancang perang psikologi melalui naratif media. Namun dengan dukungan Kementerian Komunikasi Malaysia, kami bukan sekadar memantau, tetapi juga menyerang balas naratif yang cuba dibawa,” katanya ketika muncul dalam program bual bicara Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV.
Menurutnya, setiap perkembangan berkaitan flotila dan Gaza akan ditapis serta disebarkan dengan naratif tepat dari pusat arahan SNCC yang berpusat di Sepang, Selangor.
“Strategi ini menunjukkan Malaysia mempunyai kekuatan tersendiri dalam membela Gaza di pentas antarabangsa tanpa perlu bergantung kepada kekerasan senjata. Ini juga satu bentuk jihad. Jika sebelum ini jihad dilihat hanya melalui peperangan bersenjata, hari ini kami buktikan ia juga boleh melalui media, diplomasi, persidangan dan undang-undang,” katanya.
Ahmad Sani Araby menegaskan pendekatan diplomasi, media dan solidariti global melalui SNCC telah berjaya memastikan naratif antarabangsa kekal memihak kepada perjuangan rakyat Palestin, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rakan kemanusiaan yang konsisten.
Global Sumud Flotilla yang merentasi Laut Mediterranean membawa makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan dijangka tiba di perairan Gaza hujung bulan ini. Misi bersejarah itu disertai lebih 1,000 sukarelawan antarabangsa termasuk 34 peserta dari Malaysia, dengan matlamat memecah kepungan terhadap Gaza.
— BERNAMA