PalestinSemasa

Stesen Air Gaza Dibedil, Sekatan ke Atas Masjid Al-Aqsa Kian Meruncing

Israel terus membedil Semenanjung Gaza selepas satu bedilan dron dilancarkan berhampiran stesen pengedaran air di Bandar Gaza pada Ahad, membunuh dua rakyat Palestin serta mencederakan beberapa yang lain.

Menurut kenyataan Pasukan Pertahanan Awam Gaza, dron rejim berkenaan dengan sengaja menyasarkan orang awam yang sedang berkumpul di luar pusat pengedaran air di kawasan Al-Samer, timur Bandar Gaza.

Pihak berkuasa Palestin menyifatkan serangan terbaharu itu sebagai satu lagi pelanggaran nyata terhadap perjanjian gencatan senjata yang sepatutnya berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025.

Kementerian Kesihatan Gaza mendedahkan bahawa sejak gencatan senjata tersebut diisytiharkan, serangan harian Israel sebenarnya telah mengorbankan 1,066 nyawa dan mencederakan 3,445 individu. Setakat ini, tentera rejim dilapor telah menduduki kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan wilayah Gaza.

Secara keseluruhannya, perang genosid yang dilancarkan sejak 7 Oktober 2023 itu telah memusnahkan hampir 90 peratus infrastruktur awam di Gaza serta meragut lebih 73,000 nyawa rakyat Palestin.

Provokasi Melampau di Masjid Al-Aqsa

Sementara itu di Baitulmaqdis Timur, Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin melaporkan situasi yang semakin tegang di tempat-tempat suci umat Islam berikutan tindakan tentera Israel mengetatkan sekatan ke atas jemaah tempatan.

Sepanjang bulan Jun sahaja, tentera Israel dilaporkan telah menceroboh pekarangan Masjid Al-Aqsa melalui Pintu Mughrabi sebanyak 26 kali bagi memberi laluan dan perlindungan kepada 4,212 peneroka haram Yahudi.

Kementerian itu mendokumentasikan tindakan biadab para peneroka haram yang melakukan ritual Talmud di dalam kawasan suci tersebut. Ini termasuk melakukan perbuatan “sujud epik”, sujud secara kolektif, solat beramai-ramai, serta upacara keagamaan bagi mendoakan keselamatan tentera Israel di hadapan kubah Dome of the Rock (Masjid Al-Sakhrah).

Pada masa yang sama, jemaah Palestin berdepan kawalan keselamatan luar biasa yang ketat, terutamanya ketika mahu menunaikan solat Jumaat.

Azan Dihalang 84 Kali di Hebron

Pencabulan hak beragama turut dikesan di Masjid Ibrahimi yang terletak di Hebron. Pihak kementerian memaklumkan bahawa tentera Israel telah menghalang laungan azan sebanyak 84 kali sepanjang bulan lalu, selain mengekalkan sekatan ketat yang menyukarkan pergerakan kakitangan masjid dan jemaah.

Susulan siri serangan dan gangguan yang turut menyasarkan beberapa buah masjid lain di Tebing Barat, Kementerian Wakaf Palestin menggesa komuniti antarabangsa serta organisasi hak asasi manusia untuk bertindak segera bagi melindungi tempat-tempat suci umat Islam daripada terus dicemari. – AGENSI

Related Articles

Back to top button