
KOTA BHARU – Negeri Kelantan sekali lagi tampil sebagai pelopor dalam memperkasa nilai-nilai Islam apabila bakal menjadi negeri pertama melaksanakan Dasar Sukan Mesra Islam sempena penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2028.
Inisiatif yang digerakkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan menerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat ini kini sedang giat dibangunkan dengan kerjasama sekumpulan penyelidik pelbagai bidang bagi memastikan pelaksanaannya menepati syarak dan keperluan semasa dunia sukan.
Ketua Penyelidik Pembangunan Dasar, Prof Dr Abdul Halim Mokhtar dari Jabatan Perubatan Sukan, Universiti Malaya memaklumkan bahawa kajian terhadap dasar ini telah bermula sejak awal tahun dan dijangka akan memasuki fasa ujian menjelang tahun 2027.
“Kami mengadakan pelbagai siri kajian serta sidang meja bulat melibatkan pandangan daripada pakar agama seperti mufti, exco agama, jurulatih dan atlet sendiri bagi memastikan dasar ini komprehensif dan realistik,”
ujar beliau kepada media hari ini.
Antara elemen utama yang diberi perhatian adalah pakaian atlet yang patuh syariah tanpa menjejaskan prestasi sukan, di samping aspek fasiliti yang bersesuaian bagi penggunaan atlet lelaki dan wanita secara berasingan.
Turut diambil kira dalam perbincangan ialah waktu solat sepanjang penganjuran SUKMA 2028, serta pemilihan penaja yang tidak terlibat dalam elemen haram seperti perjudian atau sebarang bentuk penajaan yang tidak selari dengan prinsip Islam.
“Kita mahu jadikan SUKMA 2028 bukan sahaja sebuah temasya sukan, tetapi platform untuk memperlihatkan bahawa Islam sangat meraikan sukan jika dilaksanakan dalam acuan yang betul dan penuh adab,”
katanya yang juga merupakan panel dalam Sidang Meja Bulat Siri Ke-2: Pelaksanaan Dasar Sukan Mesra Islam Kelantan yang berlangsung di sebuah hotel di Kota Bharu.
Beberapa jenis sukan seperti renang, gimnastik dan berbasikal akan dijadikan perintis dalam menguji keberkesanan dasar ini sebelum ia diperluas kepada semua acara.
Langkah proaktif Kelantan ini bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam dunia sukan tanah air, malah memperlihatkan potensi Malaysia dalam mengetengahkan model sukan yang menepati kehendak Islam serta inklusif kepada semua.