
Ketegangan di Tebing Barat yang diduduki terus meningkat apabila sekumpulan peneroka haram Israel menyerang aktivis dan sukarelawan antarabangsa di komuniti Badwi Shallal al-Auja, utara Jericho, awal Khamis. Media tempatan melaporkan bahawa kumpulan peneroka dari pos penempatan berdekatan memasuki kawasan komuniti tersebut sebelum menyerang aktivis yang berada di situ untuk melindungi penduduk Palestin.
Hassan Mleihat, pengarah kumpulan hak asasi Badwi al-Baydar, memberitahu agensi berita Palestin Wafa bahawa aktivis dan penduduk kampung yang tidak bersenjata sempat berdepan dengan serangan itu dan akhirnya berjaya memaksa peneroka berkenaan berundur. Wafa bagaimanapun tidak mendedahkan kewarganegaraan sukarelawan antarabangsa yang turut diserang.
Suruhanjaya Penjajahan dan Penentangan Tembok melaporkan bahawa peneroka haram Israel telah melakukan 621 serangan terhadap rakyat Palestin dan harta benda mereka di Tebing Barat sepanjang November lalu, mencerminkan peningkatan ketara dalam keganasan berkaitan penempatan.
Dalam pendapat undang-undang yang dikeluarkan Julai tahun lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengisytiharkan pendudukan Israel di wilayah Palestin sebagai haram dan menggesa pemindahan semua penempatan di Tebing Barat serta Baitulmaqdis Timur.
Pada masa yang sama, tentera Israel memperluas kempen ketenteraannya di bahagian utara Tebing Barat pada Khamis. Di Qalqilya, pasukan tentera mengenakan sekatan ketat di kawasan kejiranan Kafr Saba, menyekat pergerakan penduduk Palestin selain menguatkuasakan perintah berkurung. Serbuan yang bermula seawal waktu subuh turut melibatkan penggeledahan rumah dan soal siasat penduduk.
Tentera Israel juga berundur dari Masliya, selatan Jenin, selepas menyerbu bandar itu selama beberapa jam dengan mengenakan perintah berkurung. Kerosakan akibat operasi berkenaan masih jelas kelihatan di seluruh kawasan. Sementara itu, Qabatiya terus berada di bawah operasi hari ketiga dengan sekatan ketat, serbuan rumah berulang kali serta penahanan penduduk.
Sejak minggu lalu, beberapa bandar di utara Tebing Barat menyaksikan lonjakan operasi ketenteraan selepas tentera Israel melancarkan kempen baharu bermula di Tubas dan Tammun sebelum merebak ke Qabatiya dan Masliya. Operasi meliputi perintah berkurung, penahanan besar-besaran serta kerosakan infrastruktur yang semakin membimbangkan penduduk.
Sumber: AA







