DomestikSemasa

Tarikh Melihat Anak Bulan Ramadan 2026 Ditentukan 17 Februari

Tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan permulaan puasa umat Islam di Malaysia tahun ini ialah pada petang Selasa, 17 Februari 2026 bersamaan 29 Syaaban 1447 Hijrah.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Majlis Raja-Raja telah mempersetujui kaedah penentuan tarikh awal Ramadan berdasarkan rukyah dan hisab.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan tarikh permulaan puasa pada malam berkenaan melalui saluran radio dan televisyen.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan bahawa tarikh bagi melihat anak bulan Ramadan ialah pada petang Selasa, 17 Februari 2026 Masihi bersamaan 29 Syaaban 1447 Hijrah,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyatakan bahawa jawatankuasa berkenaan telah diperkenankan melihat anak bulan Ramadan pada petang hari tersebut di 29 lokasi di seluruh negara.

Antara lokasi utama termasuk Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; serta Bukit Melawati, Kuala Selangor, Bukit Jugra, Banting dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.

Di Perak, cerapan diadakan di Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Manjung; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang; serta Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda, Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar di Kedah.

Lokasi lain meliputi Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Mukim Merang, Setiu di Terengganu; serta Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC), Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Bharu di Kelantan.

Di Sarawak, cerapan di Pusat Falak Miri, Teluk Bandung, Kuching dan Bintulu; di Sabah pula di Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan. Di Pahang, lokasi termasuk Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands serta Menara Kuantan 188.

Turut terlibat ialah Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya serta Menara Pandang, Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.

Sumber: Bernama

Related Articles

Back to top button