
Generasi muda perlu dilatih menguasai kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital, namun pada masa sama tidak boleh mengabaikan peranan agama serta budaya sebagai benteng mempertahankan jati diri negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendidikan mengenai AI mesti seiring dengan penerapan nilai hidup, moral, akhlak dan etika agar kecanggihan teknologi tidak menghakis identiti bangsa.
“Anak-anak kita dalam AI mesti dilatih pertama, kecanggihan teknologi, dia mesti kuasai. Keduanya, dia mesti bangga dengan agamanya, budayanya, sejarahnya… supaya dapat mempertahankan jati diri kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Komuniti sempena lawatan beliau ke Sarawak, malam ini.
Turut hadir Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Anwar menegaskan nilai kemanusiaan adalah aspek yang membezakan manusia dengan AI sebagai mesin. Beliau juga menekankan agar dasar transformasi digital negara memberi manfaat secara adil tanpa mencetuskan jurang digital antara golongan berada dengan masyarakat di pedalaman.
“Jangan berlaku digital divide… golongan elit punya peluang, tetapi miskin bandar, di desa, di pedalaman terpinggir kerana tiada konektiviti dan kemudahan,” katanya.
Menurutnya, pelaksanaan dasar digital perlu dipantau berterusan agar pelaburan besar dalam bidang teknologi benar-benar meningkatkan produktiviti negara.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menekankan pentingnya kestabilan politik dan semangat perpaduan untuk menjamin keyakinan pelabur serta pertumbuhan ekonomi.
“Bayangkan kalau politik tidak stabil, mana mungkin kita mara, mana mungkin kita yakin… industri sendiri tidak akan yakin. Tetapi Alhamdulillah, kesedaran politik itu kerana kekuatan kerjasama yang ada,” katanya.
Beliau turut memuji perpaduan kaum dan agama di Sarawak sebagai contoh terbaik, kerana negeri itu masih utuh daripada masalah perpecahan yang berlaku di beberapa negeri lain.
— BERNAMA







