PalestinSemasa

Ahli Parlimen AS Perkenal Rang Undang-Undang Sekat Guna Senjata di Gaza, Tebing Barat

Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS), Sean Casten, secara rasmi memperkenalkan satu rang undang-undang pada Isnin yang bertujuan menghalang penggunaan senjata keluaran AS di Gaza dan Tebing Barat sekiranya Israel melanggar perjanjian gencatan senjata.

Dinamakan sebagai Akta Pematuhan Gencatan Senjata, perundangan tersebut bakal menyekat bekalan senjata jika Israel didapati melanggar syarat gencatan senjata bertarikh 10 Oktober 2025, meneruskan agenda pengilhakan (annexation) wilayah, atau gagal membendung keganasan peneroka haram terhadap rakyat Palestin.

Casten menegaskan bahawa akta ini direka untuk memastikan bantuan ketenteraan AS selari dengan undang-undang, kepentingan, dan nilai-nilai Amerika, tanpa menafikan hak Israel untuk mempertahankan diri.

“Sebagai salah satu sekutu terpenting Amerika Syarikat, Israel mesti memastikan bahawa dasarnya dan penggunaan bantuan ketenteraan AS sejajar dengan nilai, kepentingan, dan undang-undang Amerika.

“Langkah ini bermula dengan mewajibkan pematuhan terhadap perjanjian gencatan senjata 10 Oktober 2025 serta pelan 20 perkara yang telah ditetapkan, selain membendung keganasan peneroka dan menolak pengilhakan di Tebing Barat,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Mekanisme Pemantauan dan Pengecualian

Menurut Casten, rang undang-undang itu akan mewujudkan kumpulan pemantauan penggunaan akhir dan mekanisme pengawasan Kongres bagi menguatkuasakan larangan tersebut.

Walau bagaimanapun, akta ini tetap mengekalkan sokongan terhadap sistem pertahanan udara Israel. Ia mengecualikan sistem peluru berpandu pertahanan seperti Iron Dome, David’s Sling, dan Arrow 3 daripada sekatan tersebut bagi memastikan keselamatan Israel daripada serangan udara tidak terjejas.

Beliau menyifatkan perundangan ini sebagai “pagar penghadang” yang akan membantu mengekalkan gencatan senjata serta membuka jalan yang lebih dipercayai ke arah keamanan jangka panjang, termasuk menjamin penentuan nasib sendiri (self-determination) bagi rakyat Palestin.

Sokongan Luas Ahli Parlimen

Rang undang-undang ini mendapat sokongan padu daripada ramai ahli parlimen lain yang bertindak sebagai penaja bersama, antaranya Madeleine Dean, Ro Khanna, Becca Balint, Joaquin Castro, dan lebih 20 wakil rakyat yang lain.

Langkah ini mencerminkan peningkatan tekanan dalam pentadbiran AS untuk memantau dengan lebih ketat bagaimana bantuan ketenteraan mereka digunakan di zon konflik, terutamanya di tengah-tengah krisis kemanusiaan yang berterusan di Gaza dan ketegangan yang memuncak di Tebing Barat yang diduduki.

Sumber: AA / TRT World

Related Articles

Back to top button